Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Masyarakat Melayu harus berbangga dengan pencapaian mereka,' kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata masyarakat Melayu harus berbangga dengan segala pencapaian mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berikrar bahawa Pemerintah akan terus bersama dengan masyarakat Melayu dan mendukung aspirasi mereka untuk menjadi Masyarakat Gemilang.

Beliau menambah, masyarakat Melayu harus berbangga dengan segala pencapaian mereka sejauh ini.

Malah sepanjang beberapa abad, orang Melayu membina sebuah masyarakat yang kukuh dan turut memperkayakan sejarah negara.

Masyarakat Melayu terus berkembang maju seiring dengan kemajuan Singapura.

Demikian menurut PM Lee semasa berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2019 yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal Ang Mo Kio hari ini (18 Ogos).

"Sekarang, sebagai orang Melayu, anda berpegang teguh kepada identiti anda tersendiri. Pada masa yang sama, bersatu padu dengan masyarakat lain dan memiliki naluri serta jati diri sebagai anak watan Singapura," tambah PM Lee.

(Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura)

PENGARUH MASYARAKAT MELAYU BANTU S'PURA CORAK IDENTITI NASIONAL

Tahun ini, sempena memperingati 200 tahun Singapura, PM berkata beliau gembira melihat pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan masyarakat.

Kegiatan-kegiatan dan acara sedemikian membolehkan kita untuk mengimbas kembali kekayaan sejarah negara termasuk asal usul masyarakat Melayu di Singapura.

"Pertalian budaya dan sejarah anda dengan negara-negara jiran kita membolehkan Singapura memahami dan menjalin hubungan baik dengan mereka.

"Pada masa yang sama, pengaruh anda ke atas masyarakat Singapura, membantu kita mencorak dengan jelas identiti nasional kita sebagai sebuah negara berbilang kaum di Asia Tenggara," ujar PM Lee.

Menurut PM Lee, identiti itu didorong oleh beberapa nilai murni termasuk kesedaran tentang peri pentingnya pendidikan dan bagaimana Islam diamalkan dalam konteks masyarakat majmuk Singapura.

(Gambar: MCI)

KIAN RAMAI ANAK MELAYU TERIMA BIASISWA

PM Lee turut memuji pencapaian masyarakat Melayu dari segi pendidikan.

Kian ramai anak Melayu yang mengecap kejayaan hasil penekanan ke atas pendidikan.

"Generasi demi generasi, kita lihat kian ramai orang Melayu berkelayakan lebih tinggi, dengan pekerjaan yang lebih baik, serta mutu hidup yang lebih makmur dan bermakna," kata PM Lee.

Sebagai contoh, PM Lee merujuk kepada jumlah penerima biasiswa yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat Melayu.

Salah satu daripadanya yang didedahkan oleh PM Lee adalah Anugerah Mendaki.

Hanya dalam tempoh 10 tahun sahaja, jumlah penerima Anugerah Mendaki yang lulus dengan ijazah kepujian kelas pertama sudah melonjak sebanyak 10 kali ganda.

Ini berbanding setakat tujuh penerima saja pada tahun 2007.

(Gambar: Institut Pendidikan Teknikal)

ANAK MUDA MELAYU CEMERLANG

Ini membuktikan generasi muda Melayu kini cemerlang. Malah mereka juga memainkan peranan penting dalam masyarakat.

Antara mereka yang pernah menerima biasiswa termasuklah Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Esa Masood dan Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Tahun ini, seorang lagi anak Melayu mencatat sejarah sebagai anak Melayu ketiga yang dianugerahi Biasiswa Presiden - biasiswa paling berprestij di Singapura.

Muhammad Dhafer Muhammad Faishal dipuji PM Lee kerana bukan sekadar cemerlang dalam bidang akademik saja.

"Dhafer bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berjiwa masyarakat. Pada masa lapangnya, Dhafer melakukan kerja sukarela.

"Kepada Dhafer sekeluarga, termasuk bapanya SPS Faishal Ibrahim, tahniah!" kata PM Lee, sambil merujuk kepada Setiausaha Parlimen Kanan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

(Gambar: MCI)

YURAN PRASEKOLAH SERENDAH $3

Di peringkat pendidikan awal kanak-kanak pula, PM Lee berkata lebih ramai ibu bapa kini menyedari perlunya menghantar anak-anak ke prasekolah kerana ia adalah suatu permulaan yang baik sebelum melangkah ke sekolah rendah.

Sungguhpun demikian, lebih baik lagi jika ibu bapa mula menghantar anak-anak bagi pendidikan prasekolah pada usia lebih awal, seperti pada usia 3 atau 4 tahun, tambah beliau.

Pemerintah sudah mengambil langkah-langkah untuk memastikan yurannya terus dimampui, khususnya bagi keluarga-keluarga kurang berkemampuan.

"Kami telah memperbaiki mutu pendidikan prasekolah dan memastikan kos kekal berpatutan.

"Sebenarnya, dengan sokongan Pemerintah, yuran tajaka dan tadika sepenuh hari bagi kanak-kanak dari keluarga kurang mampu, boleh serendah $3 sahaja!" kata PM Lee.

PM Lee menambah, Pemerintah juga akan memastikan kosnya kekal dimampui keluarga bergaji pertengahan.

(Gambar: My First Skool, Yung An Centre)

KIAN RAMAI PELAJAR MELAYU DARI KELUARGA KURANG MAMPU LANJUT PENGAJIAN

Begitu juga yuran-yuran bagi pendidikan di politeknik dan universiti.

Menurut PM Lee, kian ramai pelajar Melayu dari keluarga kurang mampu berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat politeknik dan universiti.

Oleh itu, Pemerintah akan memastikan yuran akan terus dimampui para penuntut dan mahasiswa.

PM Lee turut memuji semangat anak Melayu yang terus-menerus meningkatkan kemahiran mereka.

"Ada pula yang meningkatkan kemahiran selepas tamat ITE atau politeknik. Ini membantu mereka maju meniti tangga kerjaya dan memberi mereka pilihan kerjaya yang lebih luas," tambah PM Lee.

PM Lee turut mendedahkan bahawa dalam kalangan pelajar ITE, tujuh daripada 10 lulusan Nitec kini melanjutkan pendidikan sepanjang kerjaya mereka.

"Perangkaan ini sangat baik, tetapi lebih baik lagi jika ia 10 dalam 10!" ujar PM Lee.

Salah seorang anak Melayu yang menjadi teladan meraih kejayaan tanpa berputus asa ialah Mohammad Abdillah.

Beliau pernah gagal sebanyak dua kali dalam peperiksaan PSLE.

Namun, atas dorongan para gurunya Abdillah berjaya melangkah kaki ke Politeknik Nanyang di mana beliau lulus dalam bidang 'motion graphics'.

"Abdillah tidak sendirian. Ramai lagi lulusan ITE yang meningkatkan diri mereka. Ini sangat penting, kerana permintaan bagi pekerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang lebih tinggi, terus meningkat," kata PM Lee.

ASATIZAH MAIN PERANAN PUPUK MASYARAKAT ISLAM S'PURA PROGRESIF

Dari sudut agama, PM Lee berkata Islam adalah tunggak masyarakat Melayu dan para asatizah memainkan peranan penting dalam memupuk masyarakat Islam Singapura yang progresif.

(Gambar: MCI)

PM Lee menarik perhatian kepada asatizah tempatan Ustaz Zahid Zin yang memiliki ciri-ciri tersebut bagi mendorong masyarakat Islam tempatan yang progresif.

"Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forum Belia Islam (MYF), beliau mengambil pendekatan segar dalam menganjurkan kelas-kelas agamanya. Ini termasuk mengundang orang bukan Islam untuk berkongsi perspektif dengan belia Islam."

PM Lee menambah, masyarakat Melayu/Islam Singapura dikagumi sebagai contoh bagi masyarakat Islam minoriti di dunia.

Ini didorong kejayaan negara ini dalam membina hubungan silang kaum dan agama.

(Gambar: Muslim Youth Forum)

Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) anjuran Singapura baru-baru ini turut membolehkan para ulama dan ahli akademik di sini bertukar-tukar idea dengan rakan-rakan peserta dari negara asing.

"Persidangan ini adalah satu peringatan kepada diri kita sendiri, untuk cekal berusaha dalam mengukuhkan keharmonian agama kita, walaupun isu-isu kaum dan agama sering mencetuskan konflik yang serius dalam masyarakat lain," kata PM Lee.

Turut mendukung aspirasi masyarakat Melayu menjadi Masyarakat Gemilang, PM Lee mengakhiri ucapannya: "Saya yakin masyarakat Melayu akan bertambah maju, tahun demi tahun." 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan