Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Islam S'pura tegas menentang rogol dalam rumahtangga

Satu sesi tertutup bagi membincangkan pelbagai saranan untuk menyemak semula Kanun Keseksaan Singapura diadakan bersama sekitar 30 asatizah tempatan hari ini (12 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Islam S'pura tegas menentang rogol dalam rumahtangga

Ustaz Mohd Kamal Mokhtar (kiri) dan Ustazah Kalthom Muhammad Isa (kanan). (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Satu sesi tertutup bagi membincangkan pelbagai saranan untuk menyemak semula Kanun Keseksaan Singapura diadakan bersama sekitar 30 asatizah tempatan hari ini (12 Sep).

Sesi itu yang diadakan di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut disertai Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Encik Amrin Amin. Beliau juga adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Semakan Kanun Keseksaan (PCRC) yang dibentuk dua tahun lalu bagi mengemas kini kanun keseksaan yang sudah berusia lebih 150 tahun.

BERITAmediacorp difahamkan bahawa salah satu isu utama yang dibincangkan adalah mengenai pemansuhan imuniti perkahwinan bagi kesalahan merogol.

PCRC dalam laporannya baru-baru ini menyarankan agar ciri-ciri undang-undang tersebut dikemas kini agar suami yang melakukan hubungan seks dengan isteri secara paksa boleh dihukum atas kesalahan merogol, tanpa dilindungi imuniti perkahwinan.

Ketika ini kekebalan sedemikian hanya akan ditarik balik sekiranya terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa rumahtangga itu bermasalah seperti suami isteri tidak lagi tinggal sebumbung. Ini berdasarkan Kanun Keseksaan yang dipinda pada 2007.

Walaupun jumlah kes rogol dalam perkahwinan kekal rendah dengan tiada hukuman dikenakan setakat ini, PCRC menyatakan saranan itu dibuat atas dasar prinsip bahawa semua wanita patut dilindungi daripada sebarang penganiayaan seksual tanpa mengira status perkahwinan mereka mahupun identiti pelakunya.

ROGOL DALAM PERKAHWINAN TIDAK DITERIMA ISLAM SAMA SEKALI

Menyokong saranan yang diusulkan jawatankuasa itu, salah seorang asatizah yang hadir di sesi tadi berkata kelakuan seumpama itu tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam dan masyarakat Islam menentangnya.

"Islam melarang apa-apa bentuk bahaya yang dikenakan kepada orang lain, dan melarang kuat seseorang daripada menimbulkan kemudaratan terhadap pasangannya," tegas Ustaz Kamal Mokhtar sambil menambah,"Hubungan seks tidak boleh dilakukan dalam keadaan tertekan atau dengan kekerasan."

Seorang lagi asatizah pula berkata, Islam jelas mentakrifkan tanggungjawab serta hak asas bagi kedua-dua suami dan isteri yang mana si suami dikehendaki melayan isterinya dengan penuh kasih sayang.

"Seorang muslim diperintahkan untuk mendekati isterinya dengan lembut, dengan cara yang betul dan menganggap isterinya bukan sebagai satu objek seksual tetapi sebagai pasangan yang dapat saling memenuhi keperluan masing-masing," jelas Ustazah Kalthom Isa.

KEGANASAN TERHADAP WANITA TIADA TEMPAT DI S'PURA

Dalam wawancara bersama BERITA semalam, Encik Amrin berkata saranan terhadap imuniti perkahwinan diusulkan setelah perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan agama seperti MUIS.

Beliau menambah PCRC juga sudah menyemak dengan terperinci kanun-kanun keseksaan di negara-negara lain dan mendapati bahawa lebih 100 negara termasuk United Kingdom, Korea Selatan dan Thailand, sudah memansuhkan imuniti perkahwinan bagi kesalahan merogol.

"Jadi kita bersepakat untuk menyarankan supaya Singapura juga ada pendirian ini supaya kita menghantar isyarat yang terang yang keganasan terhadap wanita tidak ada tempatnya di Singapura sama sekali. Sama ada keganasan itu dilakukan di dalam perkahwinan atau luar," ujar beliau.

Laporan setebal 500 muka surat itu sudah diserahkan kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada 30 hari bulan lalu.

Orang ramai boleh memberi maklum balas terhadap pindaan itu yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada November nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan