Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat India Muslim besar hati Presiden Halimah solat Aidiladha di Masjid Jamae Chulia

Masjid berusia 193 tahun itu sudahpun diwartakan sebagai monumen negara pada tahun 1974 dan dipercayai yang paling tua di kalangan lima masjid lama Singapura yang diwartakan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ratusan ribu anggota masyarakat Islam di Singapura memenuhi 100 tempat seperti masjid, dewan dan kolong blok untuk mengerjakan solat Aidiladha pagi tadi (11 Ogos).

Masjid Khadijah misalnya mengadakan solat Aidiladha sebanyak tiga kali bagi memenuhi permintaan.

Ketua negara, Presiden Halimah Yacob kali ini menyertai sekitar 1,200 jemaah menunaikan solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Jamae Chulia, yang merupakan antara masjid tertua di sini.

Masjid Jamae Chulia sudah terang berkelipan seawal subuh lagi bagi menantikan para jemaah solat Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Tahun ini, lebih istimewa lagi buat para jemaah di sana kerana masjid itu membuka pintunya kepada Presiden Halimah Yacob serta suaminya, Encik Mohammed Abdullah Alhabshee.

Mereka diiringi Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, Presiden MUIS Mohd Alami Musa dan Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood.

PEMILIHAN MASJID SEIRING DENGAN USAHA MEMPERINGATI DWIABAD

Pemilihan Masjid Jamae (Chulia) untuk solat Aidiladha Puan Halimah Yacob juga agak sesuai dengan usaha memperingati Bicentennial negara kerana masjid berkenaan adalah antara masjid tertua di Singapura.

Suasana solat Hari Raya Aidiladha 2019 di Masjid Jamae (Chulia) dihadiri Presiden Halimah Yacob. (Gambar: BERITAmediacorp)

Dibina pada tahun 1826, Masjid Jamae Chulia yang terletak di kawasan Chinatown, ia adalah satu-satunya masjid yang menyediakan ruang ibadah untuk masyarakat Islam masa itu.

"Ini suatu pengiktirafan kepada masyarakat India Muslim, untuk Puan Halimah datang melawat ke salah satu masjid India Muslim tertua di Singapura. Ini suatu penghargaan dan keistimewaan bagi kami untuk mengalu-alukan kedatangannya ke masjid kami," kata Pengerusi Masjid Jamae Chulia Encik Shaick Fakrudeen.

Masjid tersebut juga merupakan satu-satunya masjid masyarakat India Muslim yang menyediakan khidmat korban tahun ini.

Lantaran itu, selepas selesai solat Aidiladha serta khutbah disampaikan, Puan Halimah diberikan taklimat ringkas tentang operasi korban yang dijalankan di sana.

Beliau turut menziarahi makam Allahyarham Muhammad Salih Valiullah, iaitu antara tokoh agama di kalangan masyarakat India Muslim.

Masjid berusia 193 tahun itu sudahpun diwartakan sebagai monumen negara pada tahun 1974 dan dipercayai yang paling tua di kalangan lima masjid lama Singapura yang diwartakan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan