Images
  • han
    Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam. 

Masyarakat harus 'terima' hakikat sentimen Islamofobia kian meningkat - Shanmugam

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Sabtu (16 Mac) berkata masyarakat harus "menerima" hakikat bahawa sentimen Islamofobia semakin meningkat.

Encik Shanmugam berkata demikian menyusuli serangan pengganas di Christchurch, New Zealand.

Menyifatkan insiden itu sebagai "tindakan yang kejam", beliau mengutuk keras kejadian tembakan yang meragut nyawa 49 jemaah di dua masjid dan menyebabkan ramai lagi cedera.

"Apabila anda melihat muka suspek yang didakwa melakukan jenayah itu, saya rasa anda melihat wajah seorang yang kejam," menurut beliau lagi kepada para wartawan.

Encik Shanmugam menarik perhatian serangan-serangan sebelum ini yang berpunca daripada "ideologi kebencian haluan kanan" - termasuk serangan di sebuah saumaah atau synagogue di Pittsburgh tahun lalu serta satu lagi serangan di Norway beberapa tahun lalu.

Menurutnya idealogi sedemikian harus ditangani.

"Saya berpendapat ini adalah masa di mana masyarakat harus berdepan dengan hakikat bahawa sentimen Islamofobia semakin meningkat," katanya. "Sama seperti bagaimana kita mengutuk pengganas yang mendakwa bahawa mereka melakukan serangan atas nama Islam, kita juga harus bertindak tegas terhadap individu-individu yang mempunyai sentimen Islamofobia, dan juga menangani ideologi tersebut.

"Ia bukan tentang menangani insiden-insiden tertentu saja."

Menurut Encik Shanmugam, untuk berbuat demkian, seseorang itu harus bermula dengan akur bahawa ideologi sebegitu wujud.

"Apabila anda tidak menerima kewujudan ideologi tersebut, masalah itu akan menjadi semakin besar," menurutnya. "Saya berpendapat masyarakat-masyarakat yang belum pernah menangani minoriti-minoriti Islam... sejak kebelakangan ini, mungkin mereka perlu melihat sejauh mana sentimen Islamofobia itu wujud dan menanganinya."

Encik Shanmugam menambah persoalan utama adalah bagaimana untuk menetapkan had bagi kebebasan bersuara, dan bagaimana untuk membezakannya daripada ucapan bersifat kebencian.

TOLONG PADAMKAN VIDEO "JELEK"

Selain itu, Encik Shanmugam turut menggesa orang ramai agar tidak mengongsi video serangan Christchurch yang sedang tular di wadah online.

"Ia suatu video yang amat menjelekkan. Penyerang itu kelihatan seperti merakamkan serangan yang dilakukan secara langsung," menurutnya.

Platform-platform media sosial "tidak melaksanakan tanggungjawab yang secukupnya" untuk memadamkan kandungan yang menyebarkan ideologi kebencian haluan kanan dan sentimen Islamofobia, kata Encik Shanmugam. 

- CNA/NA/na

Top