Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masuk guna TraceTogether diwajibkan di semua pasar basah, pusat penjaja

SafeEntry menggunakan hanya TraceTogether akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di semua pasar basah dan pusat penjaja merata negara dalam beberapa minggu akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jul 2021 05:21PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 12:56AM

SINGAPURA: SafeEntry menggunakan hanya TraceTogether akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di semua pasar basah dan pusat penjaja merata negara dalam beberapa minggu akan datang.

Ini bermakna semua orang yang pergi ke pasar basah dan pusat penjaja perlu mendaftar masuk menggunakan aplikasi atau token TraceTogether mereka di SafeEntry Gateway, atau dengan mengimbas kod QR SafeEntry dengan aplikasi TraceTogether mereka, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Selasa (20 Jul).

Menurut pihak berkuasa pasar basah dan pusat penjaja sering dikunjungi segenap lapisan masyarakat, dan juga merupakan tempat di mana ramai warga emas berkumpul.

"Potensi penularan sangat tinggi memandangkan jarak rapat antara individu atau kegiatan tanpa pelitup, seperti yang dibuktikan oleh kelompok jangkitan baru-baru ini yang dikesan dalam sekitaran sebegini," menurut MOH dalam satu kenyataan media.

Maka itu, kata MOH perlu ada langkah pengesanan kontak yang lebih pantas dan mudah bagi mengurangkan penularan jangkitan dalam sekitaran tersebut.

Pada 18 Julai, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan majlis-majlis bandaran mengumumkan bahawa kawalan akses termasuk hadangan sementara dan daftar masuk wajib SafeEntry akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di pasar yang mana kes COVID-19 telah dikesan dalam kalangan pekedai atau pembantu gerai.

Pengumuman terbaru ini merangkumi semua pasar basah dan pusat penjaja di Singapura, sebagai sebahagian daripada langkah diperketat ketika Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

"Kami menyeru orang ramai supaya mematuhi syarat daftar masuk SafeEntry dan membawa token TraceTogether mereka atau hidupkan aplikasi TraceTogether mereka untuk memudahkan pengesanan kontak, dan membantu melindungi diri mereka sendiri serta mereka yang tersayang".

Langkah tersebut itu diumumkan pada Selasa ekoran bertambahnya jumlah kes COVID-19 yang berkaitan dengan pasar basah dan pusat makanan, yang "berkemungkinan bermula" daripada penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong untuk mengambil bekalan mereka untuk dijual di pasar dan pusat makanan.

Kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong, yang pertama kali dilaporkan pada Jumaat lalu, mempunyai 179 kes setakat Isnin dan merupakan kelompok aktif kedua terbesar di Singapura. Yang terbesar adalah kelompok KTV dengan 193 kes.

Kedua-dua kelompok itu saling terkait, dedah Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin. Beliau menambah semasa sidang media pada Selasa bahawa kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong mungkin terbentuk sebelum kelompok KTV.

Pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 Gan Kim Yong berkata bahawa kelompok yang berkaitan dengan Pelabuhan Perikanan Jurong merebak dalam kalangan penduduk "yang lebih luas", termasuk warga emas yang berisiko tinggi jika mereka dijangkiti koronavirus.

Ia juga telah merebak ke beberapa pasar dalam masyarakat yang sering dikunjungi oleh warga emas, kata Encik Gan.

Sekitar 81 warga emas berusia 60 tahun ke atas dijangkiti sejak tujuh hari lalu. Dalam kalangan mereka, 12 tidak divaksinasi, tambahnya.

"Ini sangat membimbangkan kerana hampir 30 peratus penduduk warga senja berusia 70 tahun ke atas masih belum divaksinasi. Secara keseluruhan, hampir 50 peratus penduduk kita masih belum lengkap divaksinasi, dan oleh itu tidak dilindungi sepenuhnya,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

"Memandangkan betapa cepatnya jangkitan itu menular dan kadar kelompok baru membesar, kita perlu buat sementara waktu ini memperlahankan penularan virus untuk memberi kami masa memperluaskan perlindungan program vaksinasi kita, terutama dalam kalangan penduduk yang lebih berusia untuk melindungi mereka daripada jangkitan."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan