Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Yusof Ishak raikan kumpulan pertama 25 peserta program Braille-Ngaji

Di sebalik kekurangan, setiap insan memiliki kelebihan tersendiri termasuklah mereka yang diuji dengan kecacatan pancaindera.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Di sebalik kekurangan, setiap insan memiliki kelebihan tersendiri termasuklah mereka yang diuji dengan kecacatan pancaindera.

Demi membantu golongan kurang daya penglihatan Islam membaca Al Quran, Masjid Yusof Ishak memulakan program Braille-Ngaji pada April lalu.

Seramai 25 peserta termasuk asatizah dan pendidik agama menyahut cabaran untuk belajar teknik bacaan al-Quran braille bagi mendampingi masyarakat kurang daya penglihatan Islam di Singapura.

Selepas 20 minggu dibimbing Ustaz Mohaimin Tokyan, satu majlis tamat pengajian dan penyampaian sijil diadakan di Masjid Yusof Ishak semalam (9 Nov).

Ustaz Mohaimin Tokyan, guru Program Braille-Ngaji.

(Gambar Ustaz Mohaimin Tokyan, guru Program Braille-Ngaji.)

Ustaz Mohaimin, 55 tahun, yang juga kurang daya penglihatan, merupakan satu-satunya guru memegang tauliah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) yang mengajar membaca al-Quran menggunakan braille.

"Saya sangat berbesar hati dan beruntung kerana dapat menyebarkan pengetahuan Al Quran-Braille ini kepada lebih ramai orang di luar mereka yang cacat penglihatan dan saya mengharapkan mereka akan meneruskan dan mengajar di Singapura ini biar bertambah tenaga pengajar kelas-kelas Al Quran Braille," ujar beliau.

PARA PESERTA INGIN MANFAATKAN KEMAHIRAN BRAILLE

Ustazah Husna Jasin Amin Sahib, 46 tahun, dan Ustaz Saifullah Ghouse, 24 tahun, menjadi dua peserta terbaik dalam program itu.

Ustaz Saifullah terdorong mengikuti program itu kerana memang bertekad untuk berbakti kepada golongan kurang daya penglihatan.

"Saya nak menolong orang-orang yang kurang daya penglihatan, kerana sebagai mana Nabi bersabda sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran mengajarnya kepada yang lain," katanya.

Ustazah Husna yang bekerja sebagai guru bahasa Arab pula melihatnya sebagai satu lagi kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk masa depan.

Menurutnya: "Saya terfikir kalau saya satu hari nanti tidak dapat melihat, maknanya saya tidak boleh membaca al Quran lagi, jadi itu membuat saya nak belajar sebagai satu persediaan."

PROGRAM BRAILLE-NGAJI DAPAT PENYERTAAN GOLONGAN REMAJA

Program perintis Braille Ngaji di Masjid Yusof Ishak juga menarik pelajar politeknik Raudhatul Jannah Mohammed Ra'auf, 17 tahun, yang merupakan peserta paling muda program tersebut.

Selain cabaran menghafaz titik braille, pelajar Politeknik Temasek itu jugaharus bijak membahagikan masa.

"Saya ada kelas luar darjah (CCA) jadi kadangkala tidak boleh menghadiri kelas dan kalau saya penat dan kadangkala ada peperiksaan. Tetapi walau apapun, saya tetap cuba nak datang setiap minggu sebab saya tahu ilmu ini amat bermanfaat," katanya.

Namun, beliau tetap tidak patah semangat untuk menghabiskan program itu, bersama para peserta lain.

"Apa yang mendorong saya untuk memasuki program ini sebenarnya adalah motivasi oleh Ustaz Mohaimin sendiri. Saya tahu saya yang paling muda, jadi saya tak rasa sesuai dalam kelas tetapi sebab ustazah-ustazah selalu cuba untuk berbual cuba nak tolong, itu yang buat saya nak belajar," ujar Raudhatul Jannah lagi.

Masjid Yusof Ishak berharap dapat berganding bahu dengan masjid-masjid dan pertubuhan Islam lain untuk menyemarakkan lagi inisiatif seperti program Braille-Ngaji demi membantu golongan kurang daya penglihatan membaca Al-Quran.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan