Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Sultan lancar 'Gua Dah Relaks'; pelawa bekas banduan kongsi pengalaman pulang ke pangkal jalan

Sebuah program baru dilancarkan oleh Masjid Sultan bagi menggalak para bekas banduan dan pesalah supaya tampil berkongsi liku-liku kehidupan dan titik perubahan dalam kehidupan mereka bersama dengan orang lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Sultan lancar 'Gua Dah Relaks'; pelawa bekas banduan kongsi pengalaman pulang ke pangkal jalan

(Gambar: Facebook/Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)

SINGAPURA: Sebuah program baru dilancarkan oleh Masjid Sultan bagi menggalak para bekas banduan dan pesalah supaya tampil berkongsi liku-liku kehidupan dan titik perubahan dalam kehidupan mereka bersama dengan orang lain.

Program yang diberi nama "Gua Dah Relaks" itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesan berbahaya penyalahgunaan dadah.

Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk meningkatkan penerimaan dan sokongan masyarakat untuk membantu para bekas pesalah pulang ke pangkuan masyarakat.

Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebooknya hari ini (3 Feb).

Menyusuli kunjungannya ke Masjid Sultan baru-baru ini, Dr Faishal berkongsi bahawa beliau berbesar hati setelah mendapat tahu bahawa masjid tersebut juga merancang untuk menjalankan lebih banyak usaha bagi mendampingi keluarga-keluarga yang mudah terjejas untuk sama-sama mencegah masalah penyalahgunaan dadah.

Menurut Dr Faishal, Masjid Sultan memainkan peranan yang penting dalam membantu menyebarkan mesej antidadah kepada seluruh masyarakat terutama sekali dalam kalangan jemaah dan golongan belia.

"Masjid Sultan merupakan salah satu daripada orang kuat kami dalam menyokong perjuangan kami menentang penyalahgunaan dadah. Mereka menyokong kempen Dadah Itu Haram sejak ia dilancarkan pada 2017.

"Saya terharu oleh dorongan dan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan kami ke arah sebuah negara yang bebas dadah," tulis Dr Faishal sebelum mengakhiri catatannya.

Kempen Dadah itu Haram dilancarkan pada April 2017 oleh mantan Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin untuk menyebarkan mesej antidadah dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam setempat.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan