Images
  • masjid pusara1
    Masjid Pusara Aman bakal melancarkan percubaan khidmat bas ulang-alik hujung bulan ini. (Gambar: Masjid Pusara Aman Page)

Masjid Pusara Aman lancar khidmat percubaan bas ulang-alik hujung bulan ini

SINGAPURA: Memang, jika anda tidak memandu atau tiada kenderaan seperti kereta, memang sukar untuk berulang-alik menziarahi pusara orang-orang tersayang atau sanak-saudara.

Jika datang dengan teksi atau kereta Grab, pemandunya mungkin tidak mahu menunggu. Jika teksi mahu menunggu, bayarannya juga mungkin mahal.

Kini, Masjid Pusara Aman mungkin ada jalan keluar yang baik untuk anda bagi menghuraikan masalah seperti itu. Menjelang hujung bulan ini, ia akan melancarkan satu perkhidmatan percubaan bas ulang-alik yang boleh memuatkan 30 tempat duduk.


Bermula dari Masjid Pusara Aman sendiri, khidmat bas itu akan melalui semua blok perkuburan Pusara Abadi - tidak kira di plot lama mahupun yang baru. Bas ulang-alik itu akan dicuba selama sebulan, sebelum keputusan lebih konkrit diambil.

HARI DAN WAKTU KHIDMAT BAS PUSARA AKAN BEROPERASI

Jadi, apakah waktu-waktu di mana khidmat bas itu akan disediakan? Semasa dihubungi pihak kami, Pengerusi Masjid Pusara Aman, Encik Mustapha Kamal Osman berkata, pertama sekali jika segala perancangan berjalan lancar, khidmat percubaan bas ulang-alik itu dijangka mula beroperasi pada 29 September ini.

Ia hanya disediakan pada hari Sabtu, Ahad dan hari-hari cuti umum.

BERITAmediacorp dimaklumkan, kemungkinan juga sebanyak enam waktu keberangkatan akan disediakan pada hari ia beroperasi - 4 di sebelah pagi, dan 2 di sebelah petang. Berikut ini adalah jadual yang dipertimbangkan bagi bas ulang-alik itu:

Jadual Pagi:

8.30 pagi

9.30 pagi

10.30 pagi

11.30 pagi

Jadual Petang:

2.00 petang

3.00 petang (Nota: Sila rujuk kepada perubahan dan maklumat terkini di akhir artikel)

Sebenarnya, dari mana datangnya motivasi dan idea untuk menawarkan khidmat seperti ini untuk masyarakat Muslim tempatan?

Ini jawapan Encik Mustapha Kamal: "Kebetulan salah seorang jemaah bertanya minggu lalu mengenai usaha untuk membantu mereka yang mahu menziarah, terutama sekali ke Pusara Abadi.

"Kebanyakan yang datang sudah berumur, jalan keluar pula jauh. Saya dapat bayangkan, mahu cari Grab pun susah. Ini satu fardhu kifayah untuk menyumbang balik kepada jemaah."

SEKURANG-KURANGNYA 10 TEMPAT TURUN

Meskipun usaha tersebut sedang dilakarkan dan pihak masjid masih dalam proses mendapatkan persetujuan syarikat bas, ujian perjalanan sebenarnya sudahpun mula dilakukan untuk ke Pusara Abadi dengan melalui blok-blok lama.


(Gambar-gambar: Masjid Pusara Aman Page/Facebook)

Encik Mustapha berkongsi bahawa dari kawasan masjid ia memakan masa 15 minit untuk ke Pusara Abadi, dan 30 minit secara keseluruhannya untuk kembali ke kawasan masjid.

"Tempat naik bas bermula dari Masjid Pusara Aman dan tiap-tiap blok lama ada tempat turun.

"Bagi setiap blok, akan ada sekurang-kurangnya tiga tempat turun. Jumlah tempat turun bagi satu perjalanan ulang-alik itu belum dapat dipastikan sekarang, tetapi paling sedikit akan ada 10 tempat turun," jelas Encik Mustapha.

PERCUMA, TAPI BOLEH SUMBANG IKHLAS JIKA MAHU

Khidmat bas ulang alik itu juga akan dibiayai masjid sepenuhnya, kongsi pengerusi masjid itu.

Para jemaah boleh menaiki bas ulang alik itu secara percuma. Namun jika mereka mahu, mereka juga boleh menyumbang secara ikhlas bagi 'tambang' bas itu.

"Kami akan sediakan tabung dan jika ada sumbangan, kami berbesar hati menerimanya. Khidmat ini adalah untuk amal bagi jemaah yang menyumbang kepada masjid," jelas Encik Mustapha Kamal.

Ditanya pihak kami, berapakah kos untuk mengendalikan khidmat yang sememangnya akan membantu masyarakat Muslim tempatan ini, Encik Mustapha berkata setiap perjalanan bas berjadual itu menelan kos S$60. Bermakna S$360 sehari.

Secara kasar, pihak masjid menganggarkan akan mengeluarkan kos sekitar S$3,000 sebulan untuk khidmat tersebut.

"BERI BALIK KEPADA JEMAAH"

Sementara itu laman Facebook Masjid Pusara Aman turut meminta pandangan orang ramai mengenai adanya khidmat bas ulang alik itu.

Catatan itu berbunyi: "Apa pendapat anda jika Masjid Pusara Aman menyediakan khidmat bus ulang alik (shuttle service) pada Sabtu, Ahad dan cuti umum dari masjid ke lokasi pengkebumian yang baru Pusara Abadi dengan melalui blok-blok lama?

Apakah waktu perkhidmatan yang sesuai? Mohon pandangan anda."


Setakat tengah malam Khamis (12 Sep), catatan tersebut sudahpun mendapat lebih 1,200 'like' dan dikongsikan lebih 440 kali.

Menyifatkan sambutan itu sebagai "sokongan luar biasa", Encik Mustapha berkata pihaknya berhasrat terus memudahkan para jemaah.

"Melalui inisiatif ini, kami memberi balik kepada para jemaah. Apa yang saya yakin, bagi semua orang yang akan datang ke Masjid Pusara Aman, khidmat ini kami usahakan untuk memberikan kemudahan kepada mereka," jelasnya lagi.

(Maklumat terkini: Pihak masjid kini sudah mengubah jadual keberangkatan khidmat bas kepada jam 9.00 pagi, 10.00 pagi, 11.00 pagi, 12.00* tengah hari, 2.00 petang, 3.00 petang dan 4.00* petang.

*Bas berangkat dari Pusara Abadi)

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/im

Top