Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Mujahidin & Kuil Sri Muneeswaran ganding bahu agih makanan kepada keluarga memerlukan

Demi membawa keceriaan kepada golongan memerlukan dan pekerja hijrahan, Yayasan Rahmatan Lil' Alamin (RLAF) merancang untuk mengagihkan 20,000 set makanan sepanjang bulan Ramadan ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Demi membawa keceriaan kepada golongan memerlukan dan pekerja hijrahan, Yayasan Rahmatan Lil' Alamin (RLAF) merancang untuk mengagihkan 20,000 set makanan sepanjang bulan Ramadan ini.

Usaha silang agama ini dilancarkan secara rasmi semalam (17 Apr).

Seramai 10 relawan dari Kuil Sri Muneeswaran, Masjid Mujahidin dan Yayasan Rahmatan Lil' Alamin (RLAF) berkumpul untuk mengagihkan 60 set makanan kepada 20 keluarga memerlukan di kawasan Commonwealth Drive dan Tanglin Halt.

Set makanan ini dihantar khas oleh para relawan kuil, masjid dan RLAF ke rumah-rumah keluarga memerlukan, yang juga adalah penerima Zakat.

5,000 SET MAKANAN DIAGIH SETIAP MINGGU

Kerjasama antara Masjid Mujahidin dan Kuil Sri Muneeswaran yang terjalin buat julung-julung kalinya ini adalah sebahagian daripada usaha RLAF dengan sokongan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), IRCC SG dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk mengagihkan 5,000 set makanan kepada golongan yang memerlukan dan para pekerja hijrahan setiap minggu dari 13 April hingga 12 Mei.

"Antara sebab mengapa kita mengadakan inisiatif ini di gereja-gereja dan kuil-kuil ialah kerana ia memudahkan pengagihan makanan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di daerah ini," kata Encik Izhar Roslan, Pengurus Kanan Pembangunan Keupayaan RLAF.

"Ia juga membuka ruang untuk mereka yang belum pernah ke tempat-tempat ibadat kaum-kaum lain ini untuk berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain," tambah beliau.

Menurutnya lagi, matlamat RLAF adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara badan-badan agama di sini.

LAMBANG PERPADUAN MASYARAKAT BERBILANG AGAMA

Kerjasama yang menjadi lambang perpaduan masyarakat berbilang agama ini sangat dialu-alukan oleh pihak Kuil Sri Muneeswaran.

"Kita beruntung kerana ada usaha sebegini yang akan pastikan tiada yang tercicir daripada penghantaran makanan kali ini. Keadaan seperti ini mendorong kami untuk bekerjasama dengan badan-badan lain yang akan mengeratkan lagi hubungan kita bersama," kata Encik Paari Perumal, sukarelawan Kuil Sri Muneeswaran.

Bagi pihak Masjid Mujahidin pula, usaha murni ini jelas mencerminkan keharmonian kaum dan agama di Singapura yang sentiasa bersedia membantu masyarakat yang memerlukan, tanpa mengira kaum atau agama.

"Ini adalah satu tanggungjawab sosial bagi kita semua untuk saling membantu mereka yang memerlukan," kata Encik Rosely Sheron, sukarelawan Masjid Mujahidin.

"Saya rasa dengan gabungan bersama pihak kuil, ia akan melebarkan sayap kami dan menambahkan lagi jumlah relawan daripada masjid untuk membantu mereka yang memerlukan," tambah beliau.

Selain Kuil Sri Muneeswaran, tiga gereja dan sebuah kuil Buddha turut menyertai usaha RLAF itu iaitu Gereja St Mary of the Angels, Gereja Jesus Christ of Latter-Day Saints, Smyrna Assembly dan kuil Buddha Thai Wat Ananda Metyarama.

Tiga daripada tempat ibadat itu digandingkan dengan masjid-masjid yang terletak berdekatan.

Usaha murni ini amat dialu-alukan oleh RLAF dan pertubuhan-pertubuhan agama yang terlibat sama, dengan harapan kerjasama yang terjalin ini dapat terus diperkukuhkan pada masa akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan