Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Darul Ghufran dirasmikan Presiden Halimah

Infrastruktur masjid harus terus dipertingkat dan disesuaikan dari masa ke masa demi menyokong keperluan masyarakat dalam satu-satu era.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Infrastruktur masjid harus terus dipertingkat dan disesuaikan dari masa ke masa demi menyokong keperluan masyarakat dalam satu-satu era.

Masjid Darul Ghufran yang dibangunkan semula, adalah contoh baik dalam menawarkan program sosio-agama yang bermutu.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata demikian semasa ditemui selepas upacara perasmian Masjid Darul Ghufran oleh Presiden Halimah Yacob, hari ini (20 Apr).

Upacara itu diadakan hampir sebulan selepas Masjid Darul Ghufran mengadakan solat Jumaatnya yang pertama.

Perasmiannya disaksikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli, Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood dan Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

PEMBANGUNAN MASJID IKUT KONTEKS S'PURA

Presiden Halimah kemudian dibawa meninjau-ninjau Masjid Darul Ghufran yang serba baru itu sambil beramah mesra dengan para pegawai serta sukarelawan.

Kemudahan-kemudahan yang disediakan di masjid itu jelas menunjukkan bahawa ia mahu berkhidmat memenuhi keperluan semasa masyarakat.

"Kita kalau lihat pembangunan masjid di Singapura itu dibina dalam konteks yang sesuai untuk Singapura dan diubah dari masa ke masa. Ini penting, kita selalu harus menyesuaikan infrastruktur kita dan juga sokongan sosial supaya masyarakat dalam perkembangan mereka dari satu era ke era yang lain terus diberi sokongan yang sesuai," kata Encik Masagos.

Beliau menambah masjid bukan hanya sebuah prasarana. Malah ia juga sebuah wadah di mana masyarakat dapat bersama bukan hanya untuk mendirikan ibadah tapi juga turut sama tolong-menolong, membantu antara satu sama lain dan menyebarkan mesej kasih sayang masyarakat Islam kepada semua.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

PUSAT DAKWAH RUANG JAWAB KEMUSYKILAN AGAMA SECARA LANGSUNG

Masjid terbesar negara itu kini menawarkan lima kemudahan baru dan salah satu daripadanya adalah penubuhan Pusat Dakwah.

Pusat itu membuka pintunya untuk sesiapa sahaja, baik Muslim mahupun bukan Muslim, untuk datang mendapatkan penjelasan tentang sebarang kemusykilan mengenai agama Islam.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Amalan sentiasa membuka pintu masjid untuk masyarakat bertanyakan perihal agama sememangnya sudah lama wujud.

Namun, Masjid Darul Ghufran mengambil setapak lagi langkah ke hadapan dengan menyediakan ruang khusus serta para pegawai khas bagi tujuan tersebut.

Bukan satu, bukan dua tetapi seramai enam pegawai ditugaskan untuk bersedia menjawab segala persoalan masyarakat.

Khidmat itu lebih-lebih lagi penting dalam zaman sekarang bagi memudahkan masyarakat mendapatkan sumber-sumber agama langsung daripada sumber yang sah.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Imam Eksekutif Masjid Darul Ghufran, Ustaz Jamaluddin Abdul Wahab menekankan bahawa apa yang cuba disampaikan kepada masyarakat adalah maklumat-maklumat yang "lebih bersih, lebih sahih dan lebih terkini" tentang apa sebenarnya pemahaman Islam yang harus diamalkan.

"Kita sedar hari ini banyak fahaman, tanggapan yang berlaku yang seolah-olah melihat begitu negatif kepada agama jadi ini antara peluang.

"Kalau ada yang mungkin nak tanya tentang masalah penafsiran al-Quran, ayat ayat dan sebagainya, kita ada yang pakar dalam bidang itu. Jadi dengan adanya tenaga yang agak ramai ini yang dikhususkan dalam bidang-bidang yang tertentu itu kita harapkan maklumat yang kita sampaikan lebih tepat," tambah Ustaz Jamaluddin.

HAB BELIA - BUKAN HIBURAN SEMATA-MATA

Bagi anak-anak muda pula, ruang yang dipanggil Hab Belia di aras tiga masjid, pasti menarik minat mereka.

Bilik khas itu membolehkan mereka berinteraksi secara sihat melalui permainan-permainan seperti Monopoly dan 'air hockey'.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Namun, ia bukanlah hiburan semata-mata.

"Bila mereka datang ke Hab Belia ini mereka dapat tahu tentang aktiviti-aktiviti yang kita ada untuk belia, seperti mengayuh basikal di waktu malam dan aktiviti kem belia Ramadan. Kita juga ada membincang isu-isu semasa dan global untuk memberi tumpuan kepada isu-isu tersebut jadi belia boleh memikirkan tentang mereka," Pegawai Pendampingan Belia Masjid Darul Ghufran, Nur Hanis Rahmat memberitahu BERITAmediacorp.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Para belia juga boleh memanfaatkan ruang yang selesa itu untuk antara lain, membuat kerja-kerja sekolah mereka.

Hab Belia itu dibuka dari pukul 1.00 tengah hari hingga 10.00 malam pada hari biasa dan dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang pada hujung minggu.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Sempena majlis perasmian hari ini, masjid di Tampines Avenue 5 itu turut mengadakan acara rumah terbuka dari semalam (19 Apr) sehingga esok (21 Apr).

Selain menyaksikan dengan lebih dekat ciri-ciri yang menghiasi bangunan yang baru selesai menjalani kerja peningkatan, orang ramai juga boleh mengikuti pelbagai kegiatan termasuk ceramah khas bagi kaum Muslimah, Belia dan seisi keluarga.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan