Images
  • darul ghufran new
    Bangunan baru Masjid Darul Ghufran. (Gambar: Facebook/Masjid Darul Ghufran)

Masjid Darul Ghufran anjur rumah terbuka 3 hari turut-turut mulai esok

SINGAPURA: Sempena pembukaan rasminya hujung minggu ini, Masjid Darul Ghufran akan menganjurkan rumah terbuka selama tiga hari berturut-turut dengan pelbagai kegiatan dianjurkan.

Mulai esok (19 Apr), para pengunjung disajikan dengan hampir 25 kegiatan menarik yang boleh dinikmati seisi keluarga.

Ini termasuk qiamullail, iaitu solat malam berjemaah, kuliah, sesi-sesi ceramah khas buat Muslimah, belia dan keluarga, bengkel pengekodan (coding) dan seni khat serta persembahan teater.

Upacara perasmian masjid yang mencecah hampir 30 tahun itu juga akan dilakukan pada Sabtu ini (20 Apr).

Jadi, sekiranya anda masih belum ada perancangan untuk ke mana-mana hujung minggu ini, pintu Masjid Darul Ghufran dibuka luas untuk semua, bukan sahaja penduduk Tampines, bahkan seluruh masyarakat Islam Singapura.

KEGIATAN JUMAAT 19 APRIL

Secara lebih terperinci lagi, pada Jumaat esok (19 Apr) sebuah persembahan teater belia akan diadakan oleh Fityan FM dengan tajuk SA.HA.BAT pada 7.30 malam. Kemudian selepas solat isyak, Forum Perdana bertajuk Lain Dahulu, Lain Sekarang akan dianjurkan dengan Ustaz Kamaruzzaman Afandi dan Ustaz Abdul Aziz Mohamed selaku panelis.

KEGIATAN SABTU 20 APRIL

Pada Sabtu (20 Apr) pula, antaranya ceramah kesihatan akan dijalankan oleh Ustaz Fakhrudin Amin, Dr Elly Sabrina dan Ustazah Siti Juhartinah Saadon.

Pada waktu yang sama, Program Bijak Belanja kendalian MENDAKI Sense dan ceramah keibubapaan bertajuk ‘Super Kids: Raising a confident child’ (Anak-anak Bijak: Membesarkan anak yang berkeyakinan) oleh Cik Azhanani Kamis akan dianjurkan.

Para remaja antara usia 17-25 tahun pula boleh menyertai bengkel kaligrafi bersama Bustan Khat pada jam 2.00 petang. Jika anda berminat dengan ‘talk-show’ atau rancangan sembang pula, Santai Petang Bersama Sani Hussein & Marina Yusoff bakal berlangsung pada 3.00 petang.

Program hari Sabtu itu akan disempurnakan dengan Forum Perdana Sabtu yang membawakan tajuk Menyemai Roh Masjid Dalam Kehidupan Bermasyarakat. Forum ini akan mengetengahkan gandingan Mufti Negara Dr Fatris Bakaram dan Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

KEGIATAN AHAD 21 APRIL

Bagi Ahad ini pula, lagi lapan kegiatan akan dijalankan. Ini termasuklah dua ceramah belia dan bengkel kaligrafi untuk remaja berusia 13 hingga 16 tahun.

Antara acara utama pada hari ketiga rumah terbuka Masjid Darul Ghufran itu adalah syarahan agama bertajuk Keluargaku, Perfect 10 oleh Ustaz Zahid Zin.

Forum keluarga bertajuk Ibu Bapa Vs Gadgets: Siapa Menang? yang mengetengahkan Ustaz Nuzhan Halim dan Cik Roslinda Solihin menjadi penutup kegiatan utama pada Ahad, bemrula jam 2.00 petang.

Masjid tersebut, yang kini merupakan masjid terbesar di Singapura, mula dinaik taraf pada tahun 2016 dan membuka semula pintunya bagi solat Jumaat yang pertama pada 22 Mac lalu.

Dengan penambahan tiga lagi aras, masjid itu dapat menampung lebih ramai jemaah - iaitu 5,500 jemaah berbanding 4,000 sebelum ini.

- BERITAmediacorp/nk

Top