Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Bencoolen akan jalani kerja naik taraf mulai suku keempat 2019

Masjid Bencoolen dibina sekitar 1828, bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam yang menetap di kawasan Sungai Rochor dan Kampung Bencoolen, khususnya masyarakat India Muslim tempatan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Salah satu masjid bersejarah di negara ini, Masjid Bencoolen akan menjalani kerja-kerja naik taraf bagi memperluaskan lagi ruang solat, tambahan bilik darjah serta kemudahan mesra golongan kurang upaya dan warga emas.

Kerja-kerja peningkatan selama 15 bulan itu dijangka menelan belanja $4 juta dan dijadual bermula pada suku keempat tahun ini.

Sepanjang tempoh tersebut, masjid di Bencoolen Street itu bagaimanapun akan terus beroperasi seperti biasa.

Masjid Bencoolen dibina sekitar 1828, bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam yang menetap di kawasan Sungai Rochor dan Kampung Bencoolen, khususnya masyarakat India Muslim tempatan.

Pada 2002, tapak wakaf itu dibangunkan semula dengan sebuah blok apartmen kediaman dan beberapa kedai komersil juga dibina.

NILAI WAKAF MASJID BENCOOLEN LONJAK LEBIH $71 JUTA

Ini sekaligus meningkatkan nilai wakafnya dari $800,000 kepada lebih $71 juta dalam tempoh kira-kira 10 tahun.

Kos pembangunannya dibiayai menerusi satu inovasi pengurusan wakaf oleh MUIS iaitu penggunaan instrumen kewangan Islam, sukuk atau bon musharakah.

Inovasi berkenaan diaplikasikan bagi mengumpul dana sebanyak $35 juta untuk wakaf Masjid Bencoolen bernilai S$87 juta pada 2001.

Kini mulai suku keempat tahun ini, masjid tersebut dan kawasan wakaf akan menjalani kerja-kerja naik taraf.

"Landskap persekitaran di sini seperti MRT sudah berubah dan saya rasa masanya juga bagi kami untuk membangunkan semula masjid ini dengan ciri-ciri baru bagi menyesuaikannya dengan landskap yang baru ini," kata Pengerusi Masjid Bencoolen Mohamed Abdul Jaleel.

MASJID BARU LEBIH MESRA GOLONGAN TUA, KURANG UPAYA

Dengan kerja-kerja naik taraf ini, Masjid Bencoolen nanti akan dapat menampung sehingga 1,500 jemah pada satu-satu masa, naik dua kali ganda berbanding sebelum ini.

Ruang-ruang baru juga akan dibangunkan untuk kegunaan solat dan bilik darjah bagi kelas madrasah.

Terdapat juga kemudahan-kemudahan baru yang akan menjadikan masjid tersebut lebih mesra warga tua dan golongan kurang upaya.

"Kami akan menjalankan projek-projek mengumpul derma bukan saja di dalam masjid dan kami meletakkan kotak-kotak derma di merata Singapura bagi projek pembangunan semula kami dan saya harap orang ramai dapat menyumbang seikhlasnya," tambah Encik Jaleel.

Pengurus Besar Kelompok Masjid Selatan Encik Paiman Supangat berkata: "Matlamatnya memang mudah. Kita memberi kemudahan atau keselesaan untuk jemaah beribadah di masjid ini. Jadi dengan penambahan ruang dan kemudahan disiapkan, ini akan menarik lebih ramai jemaah untuk beribadah di Masjid Bencoolen ini."

Kerja-kerja peningkatan dan naik taraf itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2021. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan