Images
  • assyafaah main pic

Masjid Assyafaah rintis program cegah demensia untuk penduduk Sembawang

SINGAPURA: Demi menyumbang kepada usaha mencegah keadaan demensia atau nyanyuk, Masjid Assyafaah kini menganjurkan program-program khusus untuk penduduk muslim di kawasan Utara.

Menurut Persatuan Penyakit Alzheimer (ADA), kira-kira 82,000 orang menghadapi demensia di Singapura tahun lalu. Malah bilangannya dijangka melebihi 100,000 orang menjelang tahun 2030.

Atas sebab itu, Masjid Assyafaah mengorak langkah menubuhkan Program Keluarga Syifa' (PKS), bagi membantu penduduk di kawasan Sembawang yang berisiko terkena penyakit tersebut.

Antara kegiatan yang dianjurkan Program itu adalah melukis, kerajinan tangan, senaman ringan dan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kesejahteraan mental.

Kumpulan sasarannya ialah warga emas berusia 65 tahun ke atas dan semua kegiatan itu diharap dapat memperlahankan proses penyakit itu.


Antara orang pertama yang menyertai program perintis itu ialah Encik Mohd Tahir Mohd Yusoff, 65 tahun. Ini meskipun beliau sedang menjalani rawatan kemoterapi kerana menghidapi penyakit barah.

“Banyak sekali perubahannya kalau kita menyertai Program Keluarga Syifa’. Kerana, pertama sekali kita akan meringankan minda kita. Kedua, kita dapat banyak mengenal kawan-kawan yang sebaya dan seumur dengan kita. Ketiga, dia mengurangkan apa yang saya derita,” jelas Encik Tahir.

Buat masa ini, seramai 30 peserta menghadiri program perintis itu setiap dua minggu.

KEMAHIRAN YANG ADA DIKONGSI DEMI KEBAIKAN PESERTA

Antara sukarelawan yang tampil menghulurkan tenaga bimbingan termasuklah Cik Norizah Saidi, 50 tahun, yang menjalankan sesi-sesi terapi yoga.

“Saya akan gunakan terapi yoga iaitu pernafasan. Sebab pernafasan yang baik itu memang betul-betul perlulah untuk kesihatan badan, untuk menenangkan fikiran, jadi itulah cara saya untuk menenangkan mereka,” jelas Cik Norizah, yang menjadi sukarelawan bersama Masjid Assyafaah sejak 2015.

Dengan sambutan yang amat menggalakkan, Masjid Assyafaah berazam untuk mendampingi lebih ramai sukarelawan dan para pesakit.

“Buat sementara waktu ini, kami mempunyai satu sesi ataupun satu kelas untuk mereka yang ada dalam Program Intervensi Pra-Demensia ini. Dan insya Allah pada masa akan datang, kami akan membuka ruang pada sukarelawan lain dan juga pada mereka yang ingin turut serta dalam program ini.

“Mungkin kami akan buka lagi satu sesi ataupun dua sesi di tahun depan agar dapat dimanfaatkan lebih oleh masyarakat kita insya Allah,” kata Pengurus Masjid, Ustaz Muhd Zaki Mahmod.

KUMPUL DANA UNTUK LUASKAN USAHA DAMPINGI MASYARAKAT

Dalam usaha menambah sumbernya untuk meluaskan program itu, satu acara 'Hi-Tea Amal' diadakan Sabtu (19 Okt) dan ia turut mendapat sokongan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Amrin Amin.

Kegiatan-kegiatan Program Keluarga Syifa' itu dijalankan dengan kerjasama Club Heal, sebuah badan tidak mengambil untung yang pakar dalam isu-isu kesihatan mental.


Lukisan Encik Tahir dan beberapa peserta lain turut dilelong dan terjual dengan harga S$1,500.

Menerusi dana yang terkumpul, Masjid Assyafaah berharap ia dapat menambah lagi jumlah sesi program pasa masa akan datang.

- BERITAmediacorp/tq

Top