Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid An-Nur buat aduan polis: Ada pihak jual buku Islamik kumpul dana gunakan namanya

Jika anda menerima sebarang risalah yang menjual “buku-buku motivasi Islamik” bagi tujuan mengumpul dana untuk Masjid An-Nur, segera hubungi pihak masjid.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid An-Nur buat aduan polis: Ada pihak jual buku Islamik kumpul dana gunakan namanya

(Gambar: Masjid An-Nur/Facebook)

SINGAPURA: Awas, jangan tertipu. Jika anda menerima sebarang risalah yang menjual “buku-buku motivasi Islamik” bagi tujuan mengumpul dana untuk Masjid An-Nur, segera hubungi pihak masjid.

Ini kerana Masjid An-Nur sudahpun mengeluarkan amaran tentang penjualan buku-buku tersebut.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Pengurus Masjid An-Nur, Kalsom Hassan mengesahkan bahawa pihaknya tidak menjalankan sebarang pungutan dana menerusi penjualan buku-buku seumpama itu.

"Ini (bulan) Ramadan kan, jadi kita buat (pengumpulan) dana yang biasa (sahaja). Biasalah setiap masjid pun buat. Hanya dalam kalangan jemaah masjid sahaja. Kita tidak kumpul dana di luar," kata Cik Kalsom.

Cik Kalsom menambah, pihaknya dimaklumkan tentang insiden tersebut apabila seorang jemaah datang ke pejabat masjid beberapa hari sebelum Ramadan dan menunjukkan risalah yang diterimanya.

"Ia berbentuk risalah. Jemaah itu dapat dari mana (saya) tidak pasti. Dia datang ke pejabat. Kita pun tak pernah buat (sebarang) pengumuman. (Apabila) dia dapat (risalah itu), dia tanyalah mahukan kepastian," beliau memberitahu BERITAMediacorp.

Amaran tentang penjualan buku-buku motivasi Islamik bagi mengumpul dana secara tidak sah itu dimuat naik ke laman media sosial Masjid An-Nur pada 15 Mei lalu.

Catatan yang disertakan dengan gambar yang dimuat naik itu berbunyi: "Jemaah yang dihormati, pihak pentadbir Masjid An-Nur ingin memberitahu bahawa kami tidak mengadakan sebarang pungutan dana sebagaimana yang tertera (gambar) di bawah ini. Sila laporkan kepada Masjid An-Nur sekiranya anda menerima risalah atau seumpamanya tentang pungutan dana Masjid An-Nur".

Gambar yang dimuat naik itu menunjukkan risalah pungutan dana yang kelihatan tulen, dengan logo Masjid An-Nur tertera padanya.

Malah Cik Kalsom memberitahu BERITAMediacorp bahawa nombor telefon dan faks yang tertera juga adalah nombor yang betul.

Risalah itu menawarkan sebuah kotak berisi enam naskhah "Buku Motivasi Islamik - Inspirasi Untuk Remaja Masakini" kepada sesiapa yang membelinya. Harga bagi setiap kotak, bagaimanapun, tidak dinyatakan.

Sebaik sahaja menerima aduan daripada jemaah berkenaan, pihak masjid segera memaklumkan kepada pihak berkuasa - polis, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan kelompok masjid-masjid di Singapura.

Cik Kalsom juga menyifatkan insiden itu sebagai "kali pertama berlaku kepada Masjid An-Nur".

Mujur jemaah berkenaan dan pihak masjid mengambil tindakan pantas untuk menangani insiden tersebut. Cik Kalsom berkata, sejauh ini "tiada lagi aduan yang diterima" daripada para jemaah.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan