Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Al-Mukminin dipuji ramai kerana tawar minuman percuma untuk semua setiap Jumaat

Ketika cuaca panas terik, air sirap sejuk dan manis bagaikan satu nikmat besar! Apatah lagi selepas penat bekerja dari awal pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Masjid Al-Mukminin dipuji ramai kerana tawar minuman percuma untuk semua setiap Jumaat

Warga Bangladesh ini diberikan minuman percuma oleh Masjid Al-Mukminin. (Gambar: Al-Mukminin Mosque/Facebook)

BERITAmediacorp: Ketika cuaca panas terik, air sirap sejuk dan manis bagaikan satu nikmat besar! Apatah lagi selepas penat bekerja dari awal pagi.

Bayangkan keceriaan para jemaah Masjid Al-Mukminin semalam (5 Jan) ketika diberi minuman sirap secara percuma. Lebih manis lagi, bukan sahaja para jemaah, sesiapa yang melalui kawasan masjid itu, tidak kira kaum dan agama, dipelawa untuk menikmati minuman tersebut.

Bukan satu, sekali 10 macam minuman sirap disediakan yang boleh dipilih sesiapa sahaja di masjid itu.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, pengurus Masjid Al-Mukminin Encik Mohd Fairus Abdul Manaf berkata inisiatif itu sempena sambutan Maulidur Rasul dan ia akan dijalankan sehingga hujung Februari, pada setiap Jumaat, dari jam 11.30 pagi.

Inisiatif itu sebenarnya sebahagian daripada program "Free Food For All" yang dilancarkan sejak ulang tahun ke-30 Masjid Al-Mukminin pada 2016.

"Selaras dengan misi masjid untuk 'Memberi Ilham kepada Mukmin' (Inspiring Noble Akhlak) atau #inspiringMukmin, kami ingin memberi inspirasi kepada orang ramai (tidak kira bangsa atau agama) dengan ajaran-ajaran Nabi Muhammad s.a.w.," kata Encik Fairus.

Beliau menambah, inisiatif itu juga satu bentuk penghargaan kepada para jemaah, jiran dan sahabat atas sokongan mereka kepada pihak masjid selama ini.

Inisiatif memberi pelbagai minuman percuma pertama kali dilakukan pada September 2017, sempena sambutan Aidiladha. Para jemaah memberikan maklum balas yang sangat memberangsangkan terhadap inisiatif tersebut. Sejak itu, pihak masjid terdorong untuk menjalankan inisiatif itu sekali lagi.

Pastinya, inisiatif itu menarik perhatian para netizen yang memuji-muji pihak masjid yang memastikan inisiatifnya bersifat inklusif. Dalam satu gambar yang dimuat naik ke laman rasmi Masjid Al-Mukminin, seorang warga Bangladesh kelihatan diberi minuman sirap.

Turut meninggalkan komen positif termasuk para penduduk bukan berbangsa Melayu.

"Saya hormat dengan masjid ini. Lebih ramai orang perlu mencontohi masjid ini dan bersikap baik terhadap semua. Sebarkan rahmah, tidak kira bangsa atau agama," tulis pengguna Facebook, Christopher Wong.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan