Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masih ramai tidak buat perancangan kewangan bagi anggota keluarga keperluan khas

Tahap kesedaran untuk membuat perancangan kewangan, lebih-lebih lagi buat anggota keluarga berkeperluan khas, masih rendah dalam kalangan masyarakat Muslim setempat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahap kesedaran untuk membuat perancangan kewangan, lebih-lebih lagi buat anggota keluarga berkeperluan khas, masih rendah dalam kalangan masyarakat Muslim setempat.

Daripada 539 keluarga yang sudah membuka dana amanah khas buat anggota keluarga berkeperluan khas dengan Syarikat Dana Amanah Keperluan Khas Berhad (SNTC), hanya 2 peratus merupakan keluarga Muslim.

IBU BUKA DANA AMANAH UNTUK ANAK KURANG UPAYA BERUSIA 49 TAHUN

Walaupun sudah mencecah usia 71 tahun, Cik Asma Bibi Abdullah masih gigih bekerja untuk menjaga anak istimewanya, Sulaiman, 49 tahun.

Selain kurang daya intelektual, Sulaiman juga menghidapi masalah hati, ginjal dan epilepsi.

"Sekarang dia ada banyak masalah kesihatan. Jika apa-apa berlaku pada saya, saya tidak mahu susahkan anak-anak atau orang lain. Biarlah dia pergi dulu, kalau saya pergi dulu, jiwa saya takkan tenteram. Itu yang saya harapkan. Saya berdoa kepada Tuhan begitu," kata Cik Asma.

SYARAT-SYARAT AMANAHKAN ASET DENGAN SNTC

Salah satu ikhtiar Cik Asma bagi memastikan kesejahteraan Sulaiman setelah pemergiannya adalah dengan membuka sebuah dana amanah bersama SNTC.

Walaupun manfaatnya nyata, SNTC juga mengingatkan bahawa beberapa perkara perlu dipertimbangkan anggota keluarga sebelum mengamanahkan aset di bawah dana amanah itu. Misalnya, aset yang sudah diamanahkan itu tidak boleh dikeluarkan selagi waris masih hidup.

"Jika anak itu meninggal dahulu sebelum penjaga atau waris, aset itu boleh diberikan kepada sesiapa yang sudah ditetapkan sebagai waris yang layak menerimanya," kata Dr Abd Majeed Abd Khader. Beliau merupakan seorang anggota Lembaga Pengarah SNTC.

HAMBATAN LAIN BUKA DANA AMANAH

Selain kesedaran yang rendah, antara hambatan membuka dana amanah ini ialah mengeluarkan wang pokok $5,000 secara tunai.

Maka itu, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperuntukkan S$1 juta bagi membantu keluarga-keluarga sedemikian membuka dana amanah tersebut.

Menurut Ustaz Irwan Hadi Mohd Suhaimy, Timbalan Pengarah Jabatan Dasar & Peraturan Keagamaan MUIS, dana tersebut dikumpulkan daripada aset-aset ataupun estet Muslim oleh pengamanah awam (public trustee) di mana MUIS berperanan sebagai Baitulmal.

"Dana kemudian diberikan atau diserahkan kepada kita untuk kita kemudian fikirkan bagaimana cara terbaik untuk kita belanjakan untuk keperluan masyarakat," kata Ustaz Irwan.

Menerusi usaha ini, MUIS juga berharap dapat tingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk merancang kewangan mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan