Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masalah troli pasar raya terbengkalai; apakah huraiannya?

Masalah troli beli-belah yang terbengkalai merupakan isu lama yang seakan tiada penghujungnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Masalah troli pasar raya terbengkalai; apakah huraiannya?

Dua deretan troli NTUC FairPrice di blok 182 Rivervale Crescent. (Gambar: Cindy Co)

Diterbitkan : 16 Feb 2021 11:11PM Dikemas Kini : 16 Feb 2021 11:14PM

SINGAPURA: Masalah troli beli-belah yang terbengkalai merupakan isu lama yang seakan tiada penghujungnya.

Pasar raya di Singapura mahupun di luar negara - sering bergelut dengan masalah ini, sedang mereka cuba mengurangkan kos akibat troli yang hilang atau masa tambahan untuk mencari dan mengambilnya semula.

Bulan lalu, Mediacorp melaporkan keadaan di mana troli pasar raya ditinggalkan setiap hari di sepanjang jalanan di Rivervale Crescent, Sengkang.

Para penduduk memberitahu Mediacorp bahawa troli yang ditinggalkan itu milik NTUC FairPrice yang terletak berdekatan, dan masalah itu sudah lama berlaku meskipun terdapat usaha oleh rangkaian pasar raya itu untuk mendekati dan mendidik orang ramai.

Seorang jurucakap dari rangkaian pasar raya terbesar di Singapura memberitahu Mediacorp: “Tahun lalu sahaja, kami menerima lebih 3,300 laporan mengenai troli yang tidak dikembalikan dan ditinggalkan begitu sahaja.

Bahkan, masalah itu nampaknya semakin bertambah rumit hari demi hari.

Pada 2016, NTUC FairPrice dalam kenyataan medianya menyatakan bahawa pihaknya hilang sekitar 1,000 troli pada 2015, dengan kos untuk membaiki serta menggantikannya, serta kos tenaga kerja mendapatkan semula troli yang ditinggalkan mencecah lebih S$150,000. Jumlah itu merupakan satu peningkatan hampir 20 peratus berbanding lima tahun sebelumnya, apabila lebih 800 troli hilang pada tahun itu.

Dalam kenyataan media yang sama, rangkaian pasar raya itu mengumumkan projek Trolley Enforcement (Penguatkuasaan Troli) di cawangan FairPrice di Jurong Point, di mana pelanggan akan dimaklumkan bahawa pasar raya itu akan mengambil tindakan terhadap pembeli yang membawa troli keluar dari pusat beli-belah.

Sementara pendidikan awam menjadi strategi utama di Singapura, mungkinkah ada kaedah lain untuk menggalak lebih banyak pembeli supaya mengembalikan troli mereka?

KUNCI RODA ELEKTRONIK, SISTEM PENGAMBILAN SEMULA MERATA NEGERI

Pasar raya di luar negara telah mencuba langkah-langkah termasuk sistem kunci roda elektronik di Australia dan perkhidmatan pengambilan semula troli seluruh negara di United Kingdom.

Pada 2015, akhbar Cairns Post melaporkan bahawa syarikat gergasi pasar raya Australia Coles memasang sistem kunci roda elektronik pada troli di cawangannya di bandar Cairns. Sistem tersebut mengunci roda depan troli ketika ditolak ke luar kawasan pusat beli-belah.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Coles berkata bahawa syarikat itu membelanjakan "sejumlah besar" wang untuk menjaga trolinya setiap tahun, termasuk kos mengambil semula troli yang dikeluarkan dari premis kedai.

"Troli terbengkalai adalah gangguan kepada masyarakat setempat dan kami secara aktif berusaha untuk menjadikan keadaan lebih baik di seluruh negara, termasuk mengambil troli terbengkalai menggunakan kenderaan dan memasang sistem kunci roda jika sesuai."

Walau bagaimanapun, jurucakap itu menambah bahawa sistem roda elektronik tidak sesuai untuk semua kedai.

Media Britain melaporkan pada 2013 pelancaran aplikasi untuk mengesan troli yang terbengkalai. Aplikasi Trolleywise itu membolehkan orang ramai melaporkan troli pasar raya yang ditinggalkan dengan mengambil foto, sementara isyarat GPS memberikan lokasi yang tepat.

Pasukan Trolleywise, yang dibiayai peruncit di pasar raya, akan mengambil troli dan mengembalikannya ke rangkaian pasar raya yang betul.

Selain Trolleywise, penduduk di United Kingdom juga boleh melaporkan troli yang ditinggalkan kepada dewan bandaran tempatan mereka. Banyak majlis bandaran mempunyai halaman di laman web mereka yang dikhaskan untuk melaporkan troli yang ditinggalkan.

BOLEHKAH HURAIAN ITU DIGUNA PAKAI DI S'PURA?

Mungkinkah kaedah sebegitu berkesan di Singapura? FairPrice memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya sebelum ini telah mencuba huraian seperti memasang sistem kunci automatik mengikut jarak dan mengambil kad pengenalan untuk penggunaan troli.

"Namun, pelanggan yang degil dan tidak bertanggungjawab akan mencari jalan untuk mengatasi langkah-langkah ini, yang mahal untuk dilaksanakan dan menjejas sebahagian besar pembeli yang mengembalikan troli secara bertanggungjawab," kata jurucakap itu.

"Pokok pangkalnya, masalah ini ada kaitannya dengan sikap tanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Troli membeli-belah disediakan sebagai khidmat nilai tambah untuk pelanggan dan kami terus menggesa orang ramai supaya mengembalikannya setelah digunakan. "

Sementara itu, seorang jurucakap Sheng Siong berkata bahawa pelancaran aplikasi OneService pada 2016, yang membolehkan orang ramai melaporkan troli pasar raya yang ditinggalkan secara merata, telah "banyak" membantu mereka.

Kumpulan syarikat Dairy Farm, yang mengendalikan rangkaian pasar raya Cold Storage dan Giant di Singapura, enggan menjawab pertanyaan Mediacorp.

APA LAGI YANG BOLEH DILAKUKAN?

Pendidikan awam masih merupakan kaedah terbaik untuk menangani masalah ini, kata pakar tingkah laku.

Pakar sosiologi di Universiti Nasional Singapura, Tan Ern Ser berkata pendidikan awam dan peringatan berterusan "harus diteruskan", sambil menambah bahawa stesen troli yang diletakkan berhampiran pintu keluar pusat beli-belah dapat membantu usaha tersebut.

Sementara itu, Dr Tan Wah Pheow yang mengetuai Pusat Sains Tingkah Laku dan Sains Sosial Politeknik Temasek, mencadangkan agar pasar raya dapat menghantar barang runcit kepada mereka yang mungkin merasa sukar untuk mengembalikan troli beli-belah. Pelanggan-pelanggan sebegini termasuk orang kurang upaya dan warga emas.

Namun, menurutnya orang yang meninggalkan troli beli-belah merata-rata melakukannya kerana mereka menganggapnya "tidak menyusahkan sesiapa" atau mereka "menyediakan pekerjaan untuk kakitangan pasar raya".

"Salah satu cara ialah dengan menambat hati budi pembeli dan cuba mendidik mereka tentang potensi bahaya yang mungkin ditimbulkan oleh perbuatan mereka itu," katanya, kerana kakitangan pasar raya mungkin harus bekerja lebih lama atau troli beli-belah yang ditinggalkan mungkin menyusahkan penduduk atau pelanggan lain.

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan