Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos Zulkifli, Saktiandi Supaat kutuk keras serangan tidak berasas di Christchurch

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berasas di dua masjid di Christchurch, New Zealand hari ini (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos Zulkifli, Saktiandi Supaat kutuk keras serangan tidak berasas di Christchurch

Polis di Christchurch, di mana insiden tembakan menyebabkan banyak nyawa terkorban. (Gambar: AFP/Radio New Zealand)

BERITAmediacorp: Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berasas di dua masjid di Christchurch, New Zealand hari ini (15 Mac).

Beliau menegaskan demikian dalam catatan di laman Facebooknya hari ini semasa berada di Nairobi bagi menghadiri Perhimpunan Sekitaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEA) keempat.

"Berita tentang insiden tembakan rambang ke atas para mangsa di dua masjid di Christchurch, New Zealand amat menyentakkan saya. Banyak jiwa yang tidak bersalah menjadi korban serangan tidak berperikemanusiaan itu termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua. Ramai yang lain pula tercedera," luah Encik Masagos.

Encik Masagos turut menyifatkan serangan itu sebagai "tidak berasas langsung".

Beliau menambah, tidak kira siapa sahaja yang melakukan serangan ganas ke atas orang awam, mereka harus dikutuk.

"Insiden malang ini juga suatu peringatan buat kita di Singapura supaya kekal bersatu, dan tidak mengambil ringan keamanan dan keharmonian yang kita nikmati di negara kita," kata Encik Masagos.

Suruhanjaya Tinggi New Zealand turut menghargai catatan Facebook Encik Masagos dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura atas ingatan dan doa yang ditujukan kepada para mangsa dan keluarga mereka.

Serangan ngeri itu juga dikritik keras oleh AP GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat.

Menerusi catatan di laman Facebook beliau, Encik Saktiandi berkata nyawa orang-orang tidak bersalah hilang "begitu sahaja".

"Serangan yang teruk - taksub, kebencian, perkauman dan xenofobia pada tahap paling buruk. Nyawa orang yang tidak bersalah (bapa, anak lelaki, anak perempuan, isteri, adik seseorang...) hilang begitu sahaja," luah Encik Saktiandi.

Beliau turut mendoakan para mangsa yang terkorban dan berharap keluarga mereka diberikan ketenangan.

Angka korban dalam serangan pengganas di dua buah masjid di bandar Christchurch itu kini mencecah 49 orang manakala 20 yang lain cedera parah. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan