Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos serah, kongsi lebih banyak kuasa kepada 5 AP Melayu

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad, akan diberi lebih banyak kuasa dan pengaruh ke atas Yayasan MENDAKI.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad, akan diberi lebih banyak kuasa dan pengaruh ke atas Yayasan MENDAKI.

Dalam satu pengumuman pada Selasa malam (15 Sep), Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mendedahkan bahawa "seluruh tanggungjawab yang saya pikul di MENDAKI akan dipikul oleh Encik Zaqy sekarang ini".

Encik Zaqy yang kini merupakan Timbalan Pengerusi MENDAKI, "akan menjalankan tugas sebagai pentadbir yang menjalankan kerja-kerja seharian di MENDAKI", tambah Encik Masagos lagi dalam sesi wawancara bersama media di Wisma Geylang Serai (WGS) selepas satu sesi dialog online dengan lebih 170 pemimpin masyarakat Melayu/Islam setempat.

Menurut Encik Masagos lagi, keputusan itu mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dalam erti kata lain, Encik Zaqy akan menjalankan tanggungjawab seorang Pengerusi MENDAKI, walaupun beliau bukan menyandang jawatan tersebut.

Encik Masagos mengesahkan bahawa beliau akan tetap menggalas peranan sebagai Pengerusi MENDAKI.

MASAGOS-ZAQY SETUJUI PELAN 5 TAHUN MENDAKI

Peralihan tanggungjawab kepimpinan di salah satu badan tunggak masyarakat Melayu/Islam itu merupakan salah satu daripada beberapa perubahan besar yang diumumkan Encik Masagos untuk lima penjawat politik Melayu/Islam dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam.

Mengulas lebih lanjut tentang peranan lebih besar yang akan dimainkan Encik Zaqy, Encik Masagos menyifatkan langkah itu sebagai semulajadi memandangkan Encik Zaqy sudah menyandang jawatan sebagai timbalan sejak Mei 2018.

Sejak itu, Encik Zaqy sudah melakukan transformasi ke atas skim tuisyen MENDAKI selain memimpin Mendaki Sense bagi membantu para pekerja Melayu/Islam dalam aspek pekerjaan.

Encik Masagos menambah, beliau dan Encik Zaqy juga "sudah bersetuju" bagi melaksanakan sebuah "pelan lima tahun" untuk menyelaras strategi yang perlu dilaksanakan untuk meningkatkan lagi masyarakat Melayu/Islam.

"Bermula dari prasekolah, kami mahu mereka bersedia untuk masuk ke alam persekolahan. Bila mereka menginjak usia remaja, kami mahu mereka bersedia mengharungi kehidupan dan sebagai pekerja kami mahu mereka bersedia untuk berdepan perubahan," jelas Encik Masagos tentang pelan tersebut.

DR MALIKI OSMAN AKAN PIMPIN MESRA & M³@BANDAR

Satu lagi peralihan tanggungjawab dan tugasan melibatkan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman. Beliau kini akan menerajui Majlis Penyelaras Kegiatan-Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA).

MESRA adalah badan akar umbi berpengaruh yang menaungi hampir 100 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

Selain MESRA, Dr Maliki juga akan memimpin kesemua lapan M³@Bandar yang ada sekarang ini.

"Semua lapan M³@Bandar akan diselaraskan oleh Dr Maliki. Beliau juga akan menghabiskan usahanya untuk membangunkan kembali nadi Geylang Serai sebelum beliau beredar daripada kerja-kerja yang harus dilakukan di Geylang Serai," dedah Encik Masagos.

Encik Masagos menyifatkan Dr Maliki sebagai "banyak pengalaman". Malah Encik Masagos mengakui bahawa sendiri banyak merujuk kepada Dr Maliki dalam banyak hal memandangkan Dr Maliki lebih lama memasuki politik berbanding beliau sendiri.

"Dr Maliki lebih daripada mampu untuk mengendalikan MESRA. MESRA adalah sebuah pertubuhan yang amat berkesan dan kita boleh menjadikannya lebih berkesan dengan lebih ramai karyawan yang tampil dalam MESRA untuk memastikan khidmat bantuan tahap terakhir (last mile service delivery) dapat disampaikan kepada masyarakat," ujar beliau lagi.

DR FAISHAL AMBIL ALIH WGS, RAHAYU PIMPIN TWM

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim pula akan mengambil alih peranan Dr Maliki menerajui Wisma Geylang Serai (WGS), kata Encik Masagos.

Menurut beliau, Dr Faishal akan meneruskan kerja-kerja yang sudahpun dimulakan Dr Maliki dan mengembangkan lagi kegiatan-kegiatan di sana.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan (MOH), Rahayu Mahzam pula akan memikul tanggungjawab sebagai penasihat Taman Warisan Melayu (TWM).

"Di sini saya lihat kalau saya boleh mengatakan kejayaan (yang) kita capai di Wisma Geylang Serai sebagai nadi kita. Apakah yang dapat kita lakukan di MHC (TWM) sebagai satu lagi pusat yang boleh kita banggakan sebagai masyarakat Melayu/Islam," ujar Encik Masagos.

Selain itu, Encik Masagos mendedahkan bahawa akan ada satu lagi M³@Bandar, iaitu M³@Geylang Serai. Ini akan dipimpin oleh Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Encik Fahmi Aliman.

Penambahan ini bermakna, kesemuanya akan ada sembilan M³@Bandar - M³@Tampines, M³@Woodlands, M³@Marsiling-Yew Tee, M³@Pasir Ris-Punggol, M³@Bedok, M³@Chua Chu Kang, M³@Nee Soon, M³@Jurong dan yang terbaru, M³@Geylang Serai.

MASAGOS TERUS PIMPIN MUIS

Bagi Encik Masagos sendiri, beliau akan terus menerajui Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan terus membangunkan sektor agama setempat.

"Ini supaya para karyawan agama kita terus memberi kesan menerusi garis panduan yang diperlukan oleh anggota masyarakat. Namun dalam masa yang sama mereka tahu bagaimana untuk menyesuaikannya mengikut konteks sebagai minoriti, konteks Asia Tenggara dan konteks Islam yang dinamik," kata Encik Masagos.

Beliau menambah ini demi memastikan masyarakat Muslim tempatan menjurus ke arah Islam yang sebenar dan dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

KESEMUA PEMIMPIN DIBERI KEBEBASAN LAKUKAN INOVASI

Mengulas mengenai pengagihan bidang kuasa dan tanggungjawab kepara penjawat politik Melayu itu, Encik Masagos menganggapnya sebagai "bekerja sebagai sebuah pasukan yang bersepadu".

Beliau juga berkongsi bahawa para kelima-lima pemimpin itu akan diberi kebebasan untuk melakukan pembaharuan atau inovasi.

"Saya juga memberikan keyakinan untuk mereka melakukan inovasi, kreativiti untuk merancakkan lagi kerja-kerja yang dilakukan.

"Sebagai pemimpin yang menyelaraskan kerja-kerja di MENDAKI, MUIS, MESRA, WGS, saya telah memberikan mereka alur jalan ke mana kita tuju nanti dan bidang yang mereka harus bangunkan di setiap jurusan tersebut. Jadi terserah kepada mereka bagaimana mereka menjalankan... usaha-usaha untuk membangkitkan relawan, pekerja, kakitangan dan juga rangkaian kerjasama kami di M³ dan untuk mewujudkan satu rangkaian yang utuh, yang kuat, yang menjadi aset masyarakat kita.

"Kalau namanya inovasi bukan sesuatu yang kita berikan kepada mereka. Inovasi adalah sesuatu yang kita wujudkan dari mereka sendiri," jelas Encik Masagos.

Menerusi perkongsian tanggungjawab dalam pelbagai bidang itu, Encik Masagos yakin bahawa "masyarakat kita akan mendapat manfaat yang lebih besar".   

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan