Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: Program PCICS kelolaan MUIS undang kerjasama institusi asing seperti UJ dan Al-Azhar

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Universiti Jordan (UJ) pada Selasa (12 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

AMMAN, JORDAN: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Universiti Jordan (UJ) pada Selasa (12 Mac).

Perjanjian baru itu ditandatangani Ketua Eksekutif MUIS , Encik Esa Masood dengan Presiden UJ, Profesor Dr Abdel Karim Al-Qudah di kampus universiti di Amman, Jordan dengan disaksikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli bersama Menteri Luar Negeri Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan, Dr Abdel Naser Mousa.

Semasa berucap di majlis tersebut, Encik Esa melahirkan penghargaannya kepada Universiti Jordan di atas kerjasama dan perkongsian kepakaran institusi tersebut dalam latihan dan pembangunan asatizah Singapura.

Beliau turut menyentuh tentang lawatan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Encik Teo Chee Hean dan Encik Masagos Zulkifli ke UJ pada Oktober tahun lalu, di mana mereka berpeluang untuk berinteraksi dengan kepimpinan universiti, fakulti serta pelajar.

Hasil lawatan tersebut sangat positif, lebih-lebih lagi dengan persamaan antara Singapura dan Jordan, khususnya dalam menghargai kepentingan keharmonian agama dan perpaduan sosial dalam pelbagai lapisan masyarakat.

“Lebih ramai pelajar Singapura memilih Jordan sebagai salah satu destinasi penting untuk melakukan pengajian peringkat sarjana dan pos siswazah, terutamanya dalam kajian Sains Islam.

“Pada hari ini, bilangan pelajar rakyat Singapura di Irbid dan Amman telah meningkat kepada kira-kira 145 orang. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh mutu pembelajaran di Jordan serta peluang untuk kebanyakan pelajar membayar yuran pada kadar tempatan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jordan kerana memudahkan pengaturan ini,” kata beliau.

Namun, lebih penting lagi kata Encik Esa, para lulusan UJ yang pulang ke Singapura memainkan peranan penting dalam masyarakat, sama ada berkhidmat dalam perkhidmatan awam seperti MUIS, masjid, madrasah serta dalam pelbagai peranan yang membawa manfaat kepada masyarakat Singapura.

Lebih ramai pelajar dari Singapura dijangka akan melanjutkan pengajian mereka di Jordan pada tahun-tahun akan datang.

MOU ORAK LANGKAH BAGI KERJASAMA JANGKA PANJANG

MOU antara MUIS dan UJ bertujuan untuk memulakan kerjasama dalam membangunkan Program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).

Encik Esa berkata kolaborasi dengan Universiti Jordan dalam program pos siswazah ini dilakukan dengan pandangan kerjasama jangka panjang dalam pembangunan program ijazah sarjana muda baru pada masa akan datang, iaitu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mendirikan sebuah kolej Islam di Singapura.

“Dalam usaha kami untuk menyumbang ke arah pendidikan asatizah kami, kami berasa terdorong dengan keterbukaan UJ untuk berkolaborasi dalam modul peringkat pos siswazah mengenai "Isu-Isu Kontemporari dalam Islam", sebagai sebahagian daripada PCICS. Kami berharap bahawa ini akan membawa kepada hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara,”ujar beliau.

Mengulas tentang jalinan kerjasama ini, Encik Masagos berkata ia membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama dengan institusi dalam mencorak kurikulum PCICS.

“Kerjasama ini akan membolehkan kami untuk berunding dengan pihak-pihak dari Universiti Jordan dan juga Universiti Al-Azhar untuk memastikan apakah corak kurikulum yang sesuai apabila pelajar-peljaar yang pulang dari mana-mana univeristi supaya mereka tahu apakah keperluan dan ilmu yang harus mereka sampaikan di Singapura untuk mereka praktikkan ilmu yang mereka cari,” jelas Encik Masagos.

Tambah beliau: “Yang penting adalah kurikuklum ini adalah kurikulum yang diolah oleh MUIS sendiri dan diberi panduan dari universiti-univeristi yang lain untuk membangunkan bahan dan juga isi yang sesuai untuk kegunaan pelajar–pelajar agama. Kita juga harus menyesuaikan konteks supaya pelajar-pelajar yang pulang ke Singapura tahu apakah yang harus mereka sesuaikan dalam membimbing masyarakat Islam setempat.”

Presiden UJ, Profesor Dr Abdel Karim Al-Qudah pula berkata kerjasama itu akan mengorak langkah bagi lebih banyak kolaborasi antara UJ dengan Singapura.

“Saya amat gembira dengan kerjasama ini. Ia adalah peluang yang sangat baik untuk membina kerjasama pada masa ini dan juga pada masa depan. Terdapat banyak lagi ruang untuk bekerjasama khususnya kepada urusan Islam untuk pendidikan dan perkhidmatan,” kata beliau.

Encik Masagos akan mengadakan perbincangan dengan pelajar Singapura di Jordan di bawah persatuan Perhimpunan Pelajar Singapura di Jordan (SIRAJ) sebelum mengakhiri lawatannya ke Timur Tengah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan