Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: Pemerintah akur ada sebab yang baik untuk beri jururawat Muslim kelonggaran pakai tudung

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli menjelaskan Pemerintah memerlukan beberapa bulan lagi untuk mencari huraian yang terbaik berhubung pemakaian tudung bagi para jururawat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli menjelaskan Pemerintah memerlukan beberapa bulan lagi untuk mencari huraian yang terbaik berhubung pemakaian tudung bagi para jururawat.

Ini memandangkan isu tersebut kait-mengait dan tersimpul kuat dengan faktor-faktor lain.

Namun, kata Encik Masagos, Pemerintah akur ada sebab yang baik untuk memberi jururawat Muslim kelonggaran untuk mengenakan tudung bagi mereka yang pilih untuk berbuat demikian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam berhubung pendirian Pemerintah mengenai isu pemakaian tudung bagi para jururawat.

"Kami telah lama bincangkan hal ini dengan pelbagai lapisan anggota masyarakat Melayu/Islam kita. Perbincangan diadakan di belakang tabir, sebab itu berjalan dalam suasana tenang. Akhirnya, kita selesa dan jujur membincangkan dari hati ke hati demi kemaslahatan masa depan masyarakat dan negara,"kata Encik Masagos.

Memberi contoh, beliau berkata satu dialog tertutup diadakan Ogos lalu di Masjid Khadijah, di mana Encik K. Shanmugam telah berkongsi dengan para anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan ( RRG) tentang bagaimana untuk membuat perubahan.

"Pemerintah akur ada sebab yang baik untuk memberi jururawat Muslim kelonggaran untuk mengenakan tudung bagi mereka yang pilih untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya kita telah meninjau kemungkinan untuk mengubah dasar yang ada sekarang ini, tetapi isu ini kait-mengait dan tersimpul kuat dengan faktor-faktor lain. Jadi pemerintah harus membuat pertimbangan dengan teliti.

Para Menteri lain terus berbincang dengan masyarakat tentang cara yang terbaik untuk membuat perubahan dasar ini," kata Encik Masagos.

Tambahnya, semasa beliau berucap di Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) beliau mengingatkan kembali bahawa dalam usaha untuk mencari huraian bagi isu ini, ia harus dilakukan dengan teliti dan penuh hemah.

"Saya sangat faham dengan hasrat jururawat Muslim kita yang mahu mengenakan tudung dalam uniform mereka.

Malah saya dan rakan-rakan anggota Parlimen Melayu-Islam PAP lain juga selalu memberi pandangan kami dalam hal ini kepada kabinet,"ujarnya.

Encik Masagos berkata Pemerintah akan mengumumkan keputusan berhubung pemakaian tudung bagi para jururawat apabila perbincangan selesai kelak.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan