Images
  • masagos (1)
    Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Masagos kongsi kejayaan, pencapaian S'pura dengan siswazah universiti AS

BERITAmediacorp: Singapura sebagai sebuah negara yang kecil berjaya mencapai kemajuan yang besar dan ketara dalam bidang-bidang seperti ekonomi dan pembangunan masyarakat.

Namun, banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan negara ini dapat terus maju di tengah-tengah landskap ekonomi yang serba tidak menentu sekarang.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya di majlis penyampaian ijazah sarjana bagi Sekolah Perniagaan Marshall Universiti Southern California (USC) pada Khamis (11 Julai).

Dalam ucapannya itu, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air juga menyentuh bagaimana pendidikan dan pengalaman beliau sebagai seorang bekas lulusan Program Sarjana Perniagaan IBEAR universiti berkenaan turut mempersiapkan beliau dengan kemahiran asas untuk menangani isu-isu masyarakat.

Beliau turut berkongsi dengan para siswazah mengenai bagaimana pengalamannya semasa menuntut di universiti tersebut membentuk jati dirinya sebagai seorang pemimpin Singapura.

Berbekalkan ijazah sarjana yang diperolehinya, Encik Masagos rasa terpanggil untuk berbakti kepada masyarakat dan negara selepas beliau pulang ke tanah air.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengongsi kejayaan dan pencapaian Singapura di peringkat antarabangsa.

Di peringkat masyarakat pula, Encik Masgos berkongsi bagaimana masyarakat Melayu/Islam berganding bahu dan menggembeleng sumber untuk mempertingkatkan diri.

Ini termasuk menawarkan sokongan sosial yang menyeluruh untuk membantu masyarakat Melayu/Islam meningkatkan kemahiran, sekaligus menjadikannya lebih berdaya saing.

Sebagai contoh, 98 peratus kanak-kanak Melayu di Singapura mendapatkan pendidikan sekurang- kurangnya selama 10 tahun dan 94 peratus kanak-kanak Melayu akan meraih ijazah, diploma atau kemahiran kejuruan.

Encik Masagos turut menasihatkan para siswazah USC supaya mencarta hala tuju yang jelas dalam kehidupan mereka supaya mereka dapat menjadi pemimpin yang berwawasan.

- BERITAmediacorp/na

Top