Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: Keupayaan berdwibahasa buka laluan generasi muda rebut peluang di luar negara

Kemahiran dwibahasa - bahasa Inggeris dan Melayu - akan menjadikan rakyat Singapura lebih berdaya saing di peringkat global, tegas Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemahiran dwibahasa - bahasa Inggeris dan Melayu - akan menjadikan rakyat Singapura lebih berdaya saing di peringkat global, tegas Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli.

Beliau menambah, kemahiran tersebut akan membolehkan rakyat Singapura meneroka pelbagai peluang terutamanya dalam ekonomi-ekonomi besar seperti Indonesia.

Maka itu, beliau memuji Program Bahasa Melayu Elektif (MLEP) untuk maktab rendah kerana keupayaannya untuk bukan sahaja memartabatkan bahasa dan budaya Melayu tetapi juga mempersiapkan anak-anak muda merebut peluang masa depan.

PELAJAR BUAT PEMENTASAN, KUPAS ISU YANG 'DEKAT DI HATI'

Pementasan 'Tepuk Amai-amai' terbitan para pelajar MLEP dari Maktab Rendah Pioneer (PJC) ini bukanlah sekadar satu hiburan.

Ia turut menyelitkan beberapa isu yang agak berat dan begitu dekat dengan hati para belia seperti tekanan meraih kecemerlangan dalam pendidikan.

"Pada tahun-tahun sebelum ini, kami menceritakan tentang cerita-cerita rakyat tetapi sekarang kami ingin lebih mendedahkan para penonton kepada isu-isu kontemporari, isu-isu masyarakat, isu-isu belia masa kini," kata Muhd Syakir Moharum, Naib Presiden MLEP dari PJC.

Pementasan itu tidak sahaja mengupas isu-isu penting kepada para penonton. Para pelajar yang membuat pementasan itu juga ternyata menyedari perkara baru.

"Melalui pementasan ini, saya juga memahami kepayahan dan kesusahan mereka yang memperjuangkan seni Melayu," kata Nur Zulaikha Mohd Rohaidzat, Presiden MLEP, juga dari PJC.

EPILOG NILAI BANGSA DITERBITKAN BAGI PELAJAR DALAMI KESUSASTERAAN

Sebuah antologi karya tulisan para guru dan pelajar PJC bertajuk "Epilog Nilai Bangsa" juga dilancarkan di acara 'penutup tirai' bagi program MLEP yang dijalankan selama lebih setahun.

"Ia mendedahkan mereka kepada pelbagai genre dan memberikan mereka pemahaman yang lebih mendalam terhadap dunia sastera Melayu," kata guru PJC, Cik Siti Khadijah Mohd Anis.

Encik Masagos yang hadir di acara tadi selaku tetamu kehormat memuji usaha para guru MLEP dalam menyediakan pelbagai pengalaman pembelajaran buat para pelajar.

Menurutnya, kemahiran dalam bahasa Inggeris dan Melayu serta pemahaman tentang budaya negara jiran akan membuka peluang-peluang baru bagi generasi muda.

"Mereka boleh meneroka pasaran dan peluang-peluang perniagaan di negara seperti Malaysia dan Indonesia," kata Encik Masagos.

PJC adalah antara hanya tiga maktab rendah di sini yang menawarkan program MLEP. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan