Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos gesa karyawan Melayu/Islam tampil perkasa golongan belia

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggesa golongan karyawan agar tampil dan meniup inspirasi kepada para belia setempat. Bahkan, beliau berkata golongan itu merupakan "aset masyarakat berharga" yang boleh bersatu untuk menggembleng tenaga. 

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos gesa karyawan Melayu/Islam tampil perkasa golongan belia

Encik Masagos bersama pakar-pakar industri media dan kreatif. (Gambar: Yayasan Mendaki)

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggesa golongan karyawan agar tampil dan meniup inspirasi kepada para belia setempat. Bahkan, beliau berkata golongan itu merupakan "aset masyarakat berharga" yang boleh bersatu untuk menggembleng tenaga dalam memastikan tiada pelajar akan terpinggir.

Encik Masagos, yang juga merupakan pengerusi Yayasan MENDAKI, berkata demikian semasa satu sesi interaksi bersama lebih 60 pakar dalam bidang media dan kreatif.

Sesi tersebut menjadi wadah untuk membawa para karyawan yang menceburi bidang sama, untuk berkongsi pengalaman mahupun kepakaran masing-masing. Ia sekaligus membuka peluang bagi mereka untuk meluaskan jaringan sosial mereka.

Mengulas lebih lanjut tentang peranan penting mereka, Encik Masagos berkata: "MENDAKI dan M³@Bandar sedang mencari golongan karyawan untuk menjadi mentor kepada belia kita, menjadi sumber inspirasi dan memberi sokongan serta membakar semangat mereka."

"Ini terutama sekali penting bagi belia-belia kita yang sedang belajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE)."

Mereka yang turut hadir di sesi tersebut termasuk para wakil rangkaian M³ - MUIS, MENDAKI dan MESRA - yang berkongsi tentang pelbagai program M³ seperti Program Pemerkasaan bagi Lelaki (EPB) dan Program Pemerkasaan bagi Perempuan (EPG).

Encik Masagos ajak golongan karyawan tampil perkasa golongan belia. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

MENDAKI dalam kenyataan medianya menyatakan ia komited untuk menyediakan peluang di mana golongan karyawan boleh menyokong inisiatif-inisiatif tersebut atau menjalankan projek sendiri.

Bulan Raikan Ilmu pada Oktober antara wadah yang mana golongan karyawan boleh mula mengorak langkah dalam usaha itu.

"Saya ingin mengajak karyawan-karyawan kita untuk datang bersama dan menyertai acara-acara kami seperti program membaca yang bakal diadakan pada 6 Okt di Taman Di Pesisiran," kata Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Cik Rahayu Buang.

"Oktober menjadi bulan untuk menggalak masyarakat kita terus mengejar dan meraikan ilmu, belajar dan berkongsi pengetahuan. Ini peluang baik bagi para karyawan untuk memikirkan dan mengatur program-program pembelajaran yang inovatif," tambah beliau.

Sesi yang diadakan Khamis malam (19 Sep) itu adalah yang keempat dalam siri pendampingan MENDAKI tahun ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan