Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos dedah manifesto PAP bagi GRC Tampines 'Kediaman Kita, Jiwa Kita, Tampines Bersama'

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di GRC Tampines merancang untuk membangunkan Tampines sebagai sebuah hab mesra alam yang mampan sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) dan dipilih sebagai Anggota Parlimen kawasan undi tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan bertanding di GRC Tampines merancang untuk membangunkan Tampines sebagai sebuah hab mesra alam yang mampan sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) dan dipilih sebagai Anggota Parlimen kawasan undi tersebut.

Manifesto 'Kediaman Kita, Jiwa Kita, Tampines Bersama' didedahkan oleh calon PAP Encik Masagos Zulkifli dalam rapat online PAP yang disiarkan malam ini (30 Jun) melalui akaun Facebook PAP bagi GRC Tampines.

Sesi selama sejam itu turut disertai oleh calon-calon PAP bagi GRC Tampines termasuk Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon, Encik Baey Yam Keng, Encik Desmond Choo dan Cik Cheng Li Hui.

BANGUNKAN TAMPINES SEBAGAI HAB MESRA ALAM

Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air berkata sepanjang pengalamannya berkhidmat sebagai AP GRC Tampines, beliau dapat menyaksikan banyak kemajuan yang dibawa oleh pasukan partinya di kawasan undi tersebut.

Dalam mengorak langkah untuk membawa GRC Tampines ke peringkat yang lebih tinggi, banyak lagi yang turut dirancang beliau dan anggota PAP lain bagi GRC tersebut.

Paling penting menurut Encik Masagos adalah memastikan Tampines terus kekal sebagai sebuah bandar yang mampan dan disenangi penduduk.

Untuk mencapai wawasan tersebut, Encik Masagos berkata bandar Tampines akan dibangunkan sebagai sebuah 'Hab Mesra Alam'.

Menjelaskan lanjut, Encik Masagos berkata 'Hab Mesra Alam bukan sekadar memasang panel-panel solar bagi menjimatkan tenaga, para penduduk sendiri haruslah diperkasa untuk membangunkan kediaman yang mampan.

"Hab Mesra Alam bukan sesuatu yang anda hanya membina panel-panel solar di sekeliling kawasan, ia juga sesuatu yang kita boleh lakukan bersama, kita hidup bersama, dan mencapai kemampanan secara bersama," jelasnya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana para penduduk boleh memperolehi data mengenai penggunaan tenaga, air dan sisa dalam kehidupan seharian mereka.

Selain daripada Hab Mesra Alam tersebut, Encik Masagos turut mendedahkan bahawa infrastruktur dan kemudahan yang akan dibina dengan lebih banyak lagi juga merupakan salah satu daripada pelan pasukan PAP di GRC Tampines.

"Seperti masa-masa lalu seperti yang telah saya katakan, setiap daripada kita (AP Tampines) sudah melalui satu pengalaman yang kami berharap adalah pengalaman yang bermakna bagi para penduduk kami.

"Inilah yang menjadikan Tampines benar-benar istimewa kerana kami melakukannya dari hati. Inilah caranya bagaimana kita sama-sama membawa penduduk menjadikan kehidupan mereka lebih bermakna, bukan hanya kerana mereka adalah penduduk Tampines, tetapi juga kerana mereka dapat hidup dengan bermakna.

"Maka itulah manifesto kami 'Kediaman Kita, Jiwa Kita, Tampines Bersama'," kata Encik Masagos.

Awal hari ini (30 Jun), Encik Koh Poh Koon diumumkan menyertai parti tersebut bagi menggantikan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Masuk gelanggang untuk mencabar PAP dalam pilihan raya kali ini ialah pasukan daripada Parti Perpaduan Nasional (NSP), yang dipimpin oleh presiden parti, Reno Fong. Turut bertarung bagi NSP adalah Encik Mohd Ridzwan Mohammad, Yeo Ren-Yuan, Choong Hon Heng dan Vincent Ng.

GRC Tampines bagi pilihan raya kali ini mempunyai 151,708 pengundi.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan