Images
  • Saidi Shariff (1)
    (Gambar ihsan: keluarga Saidi Shariff)

Masagos beri penghargaan kepada mantan AP Kaki Bukit, Allahyarham Saidi Shariff

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Saidi Shariff hari ini (14 Jan) dan menghulurkan ucapan takziah buat keluarganya.

Allahyarham Saidi meninggal dunia pagi tadi di Hospital Besar Ng Teng Fong akibat serangan jantung, pada usia 79 tahun.

Encik Masagos yang kini berada di Abu Dhabi atas urusan rasmi, menyampaikan ucapan rasa duka citanya di atas pemergian Allahyarham menerusi satu catatan di laman Facebook beliau.

Menurut beliau, antara sumbangan terbesar Allahyarham ialah menerusi peranannya selaku antara pengasas Yayasan MENDAKI, demi meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Melayu.

Sebagai seorang Anggota Parlimen (AP), kata Encik Masagos, Allahyarham gigih menabur bakti kepada masyarakat majmuk Singapura.

"Sebagai Anggota Parlimen kawasanundi Kaki Bukit sepanjang 1980 hingga 1984, beliau mewakili para penduduknya dalam membahaskan isu-isu yang dekat di hati mereka seperti pengangkutan, perumahan dan sebagainya," tulis Encik Masagos.

"Allahyarham turut dikenali sebagai penceramah dan jurulatih kepimpinan di institut milik Persatuan Rakyat yang kini dikenali sebagai Institut Latihan Kepimpinan Masyarakat (NACLI). Beliau dihargai kerana memupuk nilai-nilai murni dan keperibadian tinggi dalam pegawai-pegawai perkhidmatan awam, para pemimpin masyarakat dan akar umbi."

Menurut Encik Masagos lagi, di masa lapangnya, Allahyarham menabur jasa sebagai sukarelawan di Masjid Al Amin.

"Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadahnya dan menempatkannya bersama mereka yang diredhaiNya," bunyi catatan Menteri Sekitaran dan Sumber Air itu lagi. 

- BERITAmediacorp/sy

Top