Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos beri jaminan Lembaga Pengiktirafan Asatizah dan MUIS amat pandang serius terhadap pendaftaran ARS

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkilfi memberi jaminan bahawa Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) amat memandang serius terhadap pendaftaran di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). 

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos beri jaminan Lembaga Pengiktirafan Asatizah dan MUIS amat pandang serius terhadap pendaftaran ARS

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli. (Gambar: Calvin Oh)

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkilfi memberi jaminan bahawa Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) amat memandang serius terhadap pendaftaran di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Malah, langkah-langkah sewajarnya sudah dilaksanakan untuk terus memastikan agar para asatizah yang sudah berdaftar dengan ARS boleh memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka oleh masyarakat Islam setempat.

Encik Masagos menegaskan demikian dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan yang diajukan oleh Profesor Madya Fatimah Lateef berhubung Perintah Sekatan (RO) yang dikeluarkan baru-baru ini terhadap seorang guru yang ditauliahkan di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Guru agama yang dimaksudkan oleh Prof Madya Fatimah Lateef adalah guru agama bebas, Murad Mohd Said, 46 tahun, yang diletakkan di bawah perintah tersebut pada 5 Dis tahun lalu kerana "menyebarkan ajaran yang menggalak keganasan serta fahaman yang menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura."

Encik Masagos turut menekankan bahawa Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) mewajibkan kesemua guru agama dan asatizah supaya mematuhi Kod Etika dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan fahaman yang menyesatkan dan mengancam perpaduan masyarakat.

Antara pertanyaan yang diajukan oleh Prof Madya Fatimah termasuk bagaimana Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyemak skim tersebut dan sama ada terdapat faktor-faktor baru yang perlu diambil kira seperti tempoh pengawasan dan temu bual wajib sebelum permohonan di bawah skim berkenaan diluluskan.

"Kesemua asatizah ARS dikehendaki menjalani latihan dengan kerap dan kesesuaian mereka akan disemak dari masa ke semasa. Sekiranya terdapat aduan atau jika mereka menunjukkan tanda-tanda yang mereka tidak layak menjadi asatizah seperti melanggar Kod Etika, maka status ARS mereka akan dibatalkan," menurut Encik Masagos.

Beliau turut menegaskan bahawa MUIS dan ARB kerap menjalankan semakan terhadap sistem ARS.

Ia bagi memastikan agar para asatizah kita bukan saja berwibawa, malah menjadi sumber-sumber yang diyakini masyarakat Islam setempat.

Ini juga kerana mereka memainkan peranan penting dalam memelihara keharmonian dan melindungi keamanan Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan