Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos, Amrin lahir rasa "bangga" dengan undi, pendirian S'pura di PBB berhubung isu Baitulmakdis

Dua Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam, Masagos Zulkifli dan Amrin Amin, ini menunjukkan pendirian teguh dan berprinsip Singapura terhadap huraian dua negara dalam isu Israel-Palestin. 

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos, Amrin lahir rasa "bangga" dengan undi, pendirian S'pura di PBB berhubung isu Baitulmakdis

Pemandangan di Baitulmakdis. (Gambar fail: AFP/Ahmad Gharabli)

SINGAPURA: Singapura termasuk di kalangan 128 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyokong draf bagi menolak perisytiharan Amerika Syarikat berhubung Baitulmakdis semasa sidang tergempar badan dunia itu.

Bagi dua Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam, Masagos Zulkifli dan Amrin Amin, ini menunjukkan pendirian teguh dan berprinsip Singapura terhadap huraian dua negara dalam isu Israel-Palestin. Kedua-dua juga melahirkan rasa "bangga" dengan pendirian Singapura di PBB.

MASAGOS: UNDI S'PURA SAHKAN LAGI RESOLUSI 2 NEGARA ISRAEL-PALESTIN

Encik Masagos, yang merupakan Menteri Sekitaran dan Sumber Air, menyatakan beliau "bangga bahawa Singapura mengambil pendirian berprinsip dan mengundi menyebelahi peraturan undang-undang".

Undian yang dibuat oleh Singapura, "mengesahkan resolusi PBB bagi huraian dua negara dalam rundingan Israel-Palestin", tambah beliau dalam satu catatan di Facebook hari ini (22 Dis).

"Peraturan undang-undang ini adalah asas yang sama kami ambil berhubung pendirian kami dalam isu Laut China Selatan.

"Ini mungkin bermakna (pada tahun 2018 akan ada) sedikit kesulitan bagi banyak pihak yang mengundi seperti kami ... tetapi kami kekal seorang sahabat yang boleh diharapkan bagi jangka panjang dan bukan sahabat yang diketahui sebagai sahabat pada waktu-waktu senang sahaja," komen Encik Masagos lagi.

Encik Masagos menegaskan, dengan pendirian tersebut, Singapura boleh berdiri sama tinggi sebagai sebuah negara berdaulat.

AMRIN: S'PURA SOKONG HAK PALESTIN UNTUK PUNYA TANAH AIR SENDIRI

Dalam komen beliau pula, Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin juga menyuarakan "rasa bangga dengan undi 'ya' Singapura dalam sesi tergempar luar biasa Perhimpunan Agung PBB" serta menekankan bahawa "pendirian Singapura berhubung isu itu adalah konsisten dan berprinsip".

Menyampaikan pandangan beliau menerusi catatan Facebooknya hari ini (22 Dis) Encik Amrin menambah bahawa "Singapura menyokong hak Palestin untuk mempunyai tanah air sendiri dan juga huraian dua negara berbeza".

"Kedua-dua Israel dan Palestin mempunyai hak-hak yang sah dan tanggungjawab ke atas Baitulmakdis," kata Encik Amrin, sambil menambah bahawa memang "tiada huraian pantas" bagi isu tersebut.

Beliau turut berharap agar kebijaksanaan dan kewibawaan dalam isu itu terus kekal.

Dalam pengundian di PBB itu, majoriti negara-negara dunia tidak mengendahkan ancaman pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menyekat penyaluran dana bantuan. Hampir 130 negara dengan padu menyokong draf ketetapan yang menolak perisytiharan Washington bahawa Baitulmakdis adalah ibu kota Israel.

Dalam undian Perhimpunan Agung itu, hanya sembilan negara - termasuk Amerika dan Israel sendiri - menentang draf tersebut dengan lagi 35 anggota mengundi berkecuali.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan