Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masa, usia bukan penghalang jadi pacer maraton

Memang sukar mendisiplinkan diri untuk berlari-lari anak demi menjaga kesihatan peribadi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memang sukar mendisiplinkan diri untuk berlari-lari anak demi menjaga kesihatan peribadi.

Apatah lagi, melakukan kegiatan tersebut hampir setiap hari bukan untuk diri sendiri semata-mata tetapi juga atas tanggungjawab membimbing pelari lain.

Demikian komitmen seorang pacer yang berperanan menentukan tempo atau rentak larian para peserta maraton pada hari perlumbaan agar mereka sampai ke garisan penamat dalam masa yang mereka sasarkan.

Para pacer Running Department dan beberapa peserta Standard Chartered Singapore Marathon di sesi latihan terakhir mereka. (Gambar: Running Department/Facebook)

Sempena edisi ke-17 Standard Chartered Singapore Marathon (SCSM), BERITAmediacorp menyorot pengalaman para pacer dari Running Department di sesi latihan mereka sebelum larian maraton esok (9 Dis).

GIGIH LATIH JALANKAN TANGGUNGJAWAB

Sedang pekerja lain langsung ke rumah selepas sehari suntuk bertugas, para anggota Running Department sebaliknya berkumpul di luar Muzium Red Dot Design dengan ves biru mereka – siap bersedia untuk memulakan latihan.

Sesi kali ini melengkapkan latihan mereka sepanjang empat bulan lalu yang dianjurkan bersama Under Armour bagi mempersiapkan diri menjalankan tugas sebagai pacer di SCSM.

Encik Mohd Azmi Ishak merupakan salah seorang daripada 54 pacer dari Running Department yang dipilih bagi Standard Chartered Singapore Marathon. (Gambar: Running Department)

Di tengah-tengah bulatan yang dibentuk, Encik Mohd Azmi Ishak, 44 tahun memimpin pacer lain dalam melakukan beberapa senaman memanaskan badan sebelum lakukan larian.

Tanggungjawab beliau dan rakan pacer lain pada hari perlumbaan amat berat – mereka harus memastikan para peserta SCSM mencapai masa larian yang ingin dikecapi selain menyuntik semangat kepada pelari dan memastikan mereka tidak keletihan.

Encik Azmi khususnya diamanahkan memandu mereka yang berlari bersamanya sepanjang jarak 42.195km untuk menghabiskan larian tersebut dalam 4 jam 45 minit.

Encik Azmi juga sudah beberapa kali menjadi pacer bagi pelbagai acara larian yang lain. (Gambar Ihsan: Mohd Azmi Ishak)

Ini bermakna, akauntan yang sudah lebih 10 tahun giat dalam sukan tersebut dituntut berlari dengan rentak konsisten iaitu 6 minit 45 saat / km. Tidak boleh terlalu cepat ataupun terlalu perlahan!

Meski sibuk bekerja, anggota Running Department sejak ia ditubuhkan pada 2013 itu tetap meluangkan masa untuk berlatih kerana mahu menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan cemerlang.

“Sebagai seorang pacer, sesi latihan yang tekal untuk mencapai stamina yang baik amat penting. Cabaran saya adalah kekadang saya tidak dapat memenuhi sasaran masa latihan saya dalam satu minggu kerana tugas dan komitmen lain.

Gambar Ihsan: Mohd Azmi Ishak

“Namun begitu, saya akan pastikan untuk mencari waktu bagi menggantikan masa latihan yang tertinggal,” kongsi beliau yang sudah lima tahun berpengalaman sebagai pacer SCSM.

SOKONGAN SATU SAMA LAIN BARA SEMANGAT

Demi mengembangkan lagi rangkaian Running Department, Encik Azmi mengundang pasangan suami isteri, Encik Sheikh Omar, 52 tahun dan Cik Noor Aisah, 50 tahun yang sering ditemuinya di acara-acara larian untuk menyertai kumpulan demikian setahun lalu.

Pasangan suami isteri ini juga kerap ke luar negara untuk mengambil bahagian dalam acara-acara larian. (Gambar: Sheikh Omar)

Dalam tempoh yang singkat itu, pasangan yang mempunyai lima anak remaja berusia dari 17 hingga 25 tahun ini bukan sahaja berjaya memperbaiki prestasi mereka malah mampu dipilih menjadi pacer bagi acara-acara larian 10km Great Eastern Women’s Run dan The Straits Times Run.

Encik Sheikh Omar dan Cik Noor Aisah baru-baru ini dipilih menjadi pacer GEWR dan TSR. (Gambar: Running Department via Sheikh Omar)

Bagi SCSM pula, mereka bakal menempuh maraton ke-13 bersama. Kali ini, matlamat mereka adalah 5 jam 15 minit.

“Kami sudah memulakan latihan tiga atau empat bulan yang lalu, bersama Running Department. Kami mengikuti para pacer, berlatih bersama. Sejauh ini, kami sudah selesai menghabiskan larian jarak 33km, 27km, 21km dan yang terakhir sekali, minggu lalu, 15km,” ujar Sheikh Omar yang bekerja sebagai seorang Pegawai Teknikal Utama.

Ditanya bagaimana mereka mengimbangi kerjaya, masa berlatih dan masa bersama keluarga, isteri beliau berkongsi bahawa sokongan satu sama lain adalah kunci kejayaan mereka.

Cik Noor Aisah mengenakan kostum Super Mario bagi memeriahkan lagi acara larian. (Gambar: Sheikh Omar)

“Kalau ikutkan hati, selepas bekerja, semestinya rasa penat. Itu selalunya menjadi penghalang untuk berlari tapi dengan adanya saya, dia (suami) rasa bersemangat,” kata Cik Noor Aisah, seorang guru tuisyen Matematik.

Selain itu, motivasi mereka untuk terus berlari-lari anak adalah juga demi menggalak masyarakat Melayu mengamalkan gaya hidup sihat.

“Tidak kira apa pun aktiviti yang mereka lakukan, asalkan berpeluh. Masa dan usia semestinya tidak boleh dibiarkan menjadi penghalang,” kata Sheikh Omar sambil berkongsi bahawa beliau dan isteri akan ke Mesir pula pada Januari depan untuk mengambil bahagian dalam Egypt Marathon 2019.

Gambar: Sheikh Omar

Namun sebelum merantau, mereka tidak sabar untuk menguji diri selepas 16 minggu bertungkus lumus berlatih bagi maraton terunggul Singapura Ahad ini (9 Dis) yang bermula seawal 4.30 pagi.

Orang ramai boleh memberikan sokongan kepada Sheikh Omar dan isteri serta pacer Running Department dan para peserta lain di sekitar Marina Bay dalam acara larian besar-besaran itu esok.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan