Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masa depan industri semikonduktor global kekal cerah: DPM Heng

Lebih 400 pekerjaan baru dijangka diwujudkan dengan pembukaan kemudahan fabrikasi wafer baru milik syarikat semikonduktor STMicroelectronics di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Sep 2019 02:54PM Dikemas Kini : 17 Sep 2019 09:11PM

SINGAPURA: Lebih 400 pekerjaan baru dijangka diwujudkan dengan pembukaan kemudahan fabrikasi wafer baru milik syarikat semikonduktor STMicroelectronics di Singapura.

Pembukaan kemudahan baru itu, yang meningkatkan keupayaan syarikat itu menghasilkan produk fabrikasi 8 inci di Singapura kepada dua kali ganda, berlaku di tengah-tengah kelembapan industri semikonduktor global.

Meskipun menghadapi tekanan, masa depan industri semikonduktor sejagat kekal cerah dan permintaan global dalam jangka panjang kekal kukuh, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, semasa berucap di perasmian kemudahan tersebut pada Selasa (17 September).

"Kelembapan pada masa ini sebahagian besarnya disebabkan ketidaktentuan ekonomi global dan permintaan yang lebih lemah dari beberapa pasaran akhir, terutamanya barangan elektronik pengguna," kata Encik Heng.

"Meskipun begitu, industri semikonduktor global telah menikmati pertumbuhan yang kukuh dalam beberapa tahun sebelum ini, dengan permintaan baru dipacu oleh aplikasi baru dalam Internet of Things, kecerdasan buatan dan perkhidmatan mobiliti."

Encik Heng menukil contoh kenderaan tanpa pemandu yang menggunakan tujuh hingga 10 kali ganda lebih banyak semikonduktor berbanding kenderaan biasa, sambil menambah bahawa industri automotif global dijangka meningkat dari AS$37.4 bilion (S$51.4 bilion) pada 2017 kepada lebih AS$58.5 bilion (S$80.4 bilion) pada 2023.

STMicroelectronics berharap untuk mengambil kesempatan daripada bidang pertumbuhan ini dengan menghasilkan lebih banyak produk khusus menerusi kemudahan barunya dan pelaburan lanjut.

Firma itu telah melaburkan lebih AS$5 bilion (S$6.7 bilion) di Singapura sejak tempoh 20 tahun yang lalu, kata Encik Heng.

"Pelaburan STMicroelectronics di sini mengesahkan pendekatan kami terhadap ekonomi - yakni yang pro-perniagaan dan pro-pekerja, dan berdasarkan komitmen yang kuat untuk menjalin perkongsian saling menguntungkan dengan pihak-pihak berkepentingan kami," kata Timbalan Perdana Menteri lagi.

Beliau menambah, menerusi kerjasama sebegini antara pihak syarikat, pekerja dan Pemerintah,
peluang-peluang baru bagi Singapura akan terus dijana.

"Di Singapura, rakyat sentiasa menjadi tumpuan usaha kita untuk mengubah dan mengembangkan ekonomi kita.

Kita mahu mewujudkan pekerjaan yang baik untuk mereka, dan menyokong mereka untuk membangunkan kemahiran dan keupayaan untuk mendapatkan pekerjaan-pekerjaan itu," kata Encik Heng.

Beliau juga memuji usaha STMicroelectronics dalam membangunkan sumber bakat tempatan melalui kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi. Kerjasama-kerjasama itu menghasilkan para graduan yang menyertai syarikat itu selepas latihan dan program pekerjaan di bawah diploma teknikal belajar sambil bekerja.

Firma tersebut kini menggajikan sekitar 4,900 pekerja di Singapura.

Industri semikonduktor menggajikan kira-kira 35,000 orang di Singapura, menyumbang lebih daripada 7 peratus hasil kasar dalam negara (GDP).

Ia adalah salah satu industri terbesar dalam sektor perkilangan. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan