Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Mas Ridzwan pelumba basikal pertama raih Biasiswa SOF-Peter Lim 2 kali berturut-turut

Pelumba basikal BMX Mas Ridzwan Mohd Ali dianugerahi Biasiswa Yayasan Olimpik Singapura (SOF)-Peter Lim baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Mas Ridzwan pelumba basikal pertama raih Biasiswa SOF-Peter Lim 2 kali berturut-turut

Mas Ridzwan Mohd Ali sekali lagi diberi biasiswa SOF-Peter Lim tahun ini. (Gambar: Hairul Nazwa)

SINGAPURA: Pelumba basikal BMX Mas Ridzwan Mohd Ali dianugerahi Biasiswa Yayasan Olimpik Singapura (SOF)-Peter Lim baru-baru ini.

Pencapaian ini dianggap luar biasa kerana sebelum ini belum ada penerima biasiswa berkenaan yang pernah meraih biasiswa tersebut buat dua kali berturut-turut.

PENCAPAIAN CIPTA SEJARAH

Pencapaian yang mencipta sejarah ini turut mengangkat Ridzwan sebagai satu-satunya pelumba basikal yang berjaya meraih biasiswa tersebut buat dua tahun berturut-turut selepas menjadi yang pertama menerimanya pada tahun lalu.

“Saya bersyukur diberi anugerah ini. Saya merancang untuk memanfaatkannya dengan membeli peralatan bagi latihan saya,” kongsi pelumba berusia 17 tahun itu.

Para penerima biasiswa bagi Kategori Bawah 18 Tahun sepertinya dihadiahkan dengan sokongan S$5,000 untuk menampung perbelanjaan sekolah ataupun peralatan sukan yang diceburi.

Pelumba muda BMX Mas Ridzwan Muhammad Ali (Gambar ihsan: Hairul Nazwa)

Atlit berbakat ini mula menceburi sukan lasak BMX sejak 12 tahun. (Gambar: Hairul Nazwa)

Dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma, biasiswa itu ibarat ‘duit raya’ awal bagi anak bongsu tiga beradik itu.

“Saya turut gembira diberi anugerah ini lebih-lebih lagi bila sudah nak raya,” ujar beliau ketika dihubungi BERITAmediacorp.

BALAS BUDI BAPA

Ridzwan mula berjinak-jinak dalam sukan lumba basikal BMX sejak kecil lagi, berkat tunjuk ajar bapanya yang pernah giat menceburi sukan lasak itu semasa mewakili kelab-kelab tempatan.

Penduduk Tampines tersebut turut berkongsi kenangan manis berbasikal bersama bapanya di litar BMX di Taman Sunplaza yang terletak berdekatan dengan rumahnya suatu ketika dahulu sebelum dirobohkan pada 2013.

(Gambar ihsan: Mas Ridzwan)

“Basikal-basikal yang saya ada ini semua bapa saya yang belikan. Saya tidak pernah minta tapi beliau yang suka belikan untuk saya.

“Saya betul-betul tidak tahu bagaimana untuk membalas bapa saya,” luah remaja ini kepada BERITAmediacorp.

Bak pepatah ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi, Ridzwan seperti bapanya turut menganggotai beberapa kelab tempatan sebelum dipilih menyertai program pembangunan belia ketika baru berusia 12 tahun pada lewat 2016.

GENGGAM HASRAT WAKILI S'PURA

Pelajar ITE tahun pertama ini bercita-cita besar.

Satu hari nanti, beliau berharap dapat mewakili negara di kejuaraan dunia meskipun akur ia memang sukar.

Untuk mencapai matlamatnya, atlit berbakat itu harus gigih berlatih bukan setakat meningkatkan tahap kecergasan dan kemahiran saja tapi juga mental dan pemakanan, menurut jurulatihnya.

BAKAT SEMULA JADI

“Bila diberi basikal, kita dapat lihat bakat semula jadi anak muda ini!” kata Hairul Nazwa, 44 tahun yang melatih Ridzwan sejak beliau menyertai program Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF).

Di luar litar perlumbaan, anak didiknya sebenarnya seseorang yang sangat pemalu, kata bekas pelumba basikal itu sambil mengongsi peristiwa mencuit hati di mana Ridzwan tiba-tiba 'menghilang' apabila diminta diwawancara selepas tamat perlumbaan di luar negara. 

Mas Ridzwan sudah lama berlatih di bawah jurulatih Hairul Nazwa (dua dari kanan). (Gambar: Hairul Nazwa)

"Sukan ini telah banyak membantunya. Sekarang beliau lebih baik. Pelajarannya telah bertambah baik. Malah, kehidupannya pun sama. Kalau dulu tidak campur orang, sekarang boleh berbual dengan mereka,” tambah beliau.

Dengan biasiswa yang diraih, Hairul berharap ia dapat membakar semangat pelatihnya itu untuk terus mempertingkatkan diri.

SUKAN ASIA 2026 JADI SASARAN

Sasarannya adalah untuk Ridzwan mencapai tahap kecemerlangan di Sukan Asia 2026 iaitu selepas 10 tahun berlatih bersamanya.

Sasaran ini diharap dapat ditepati dengan memanfaatkan program dan sokongan di bawah SCF seperti inisiatif Procycling SG yang berupaya menyediakan mutu latihan bertaraf dunia selain memberikannya lebih banyak pendedahan kepada perlumbaan luar negara.

Persekutuan tersebut baru-baru ini turut mengucapkan tahniah kepada Ridzwan atas pencapaiannya dan juga kepada Hairul atas kerja kerasnya yang “penting dalam menyokong cita-cita atlit itu”.

Menambah kepada catatan Facebook SCF itu, jurulatih tersebut juga berkata: “Tentu sekali kami rasa bangga. Ridzwan memang layak menerima anugerah itu kerana dia telah bersungguh-sungguh berlatih. Kecekalannya sejak bertahun-tahun kebelakangan ini ternyata membuahkan hasil.”

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan