Images
  • bicentennial note
    Wang kertas sempena memperingati Dwiabad Singapura memaparkan potret Encik Yusof Ishak, presiden pertama Singapura. (Gambar: Penguasa Kewangan Singapura)

MAS keluarkan lebih banyak wang kertas bicentennial S$20 bagi penuhi permintaan

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Jumaat (14 Jun) mengumumkan bahawa ia akan mengeluarkan lebih banyak wang kertas bicentennial S$20 untuk memenuhi "permintaan yang menggalakkan".

Lagi dua juta keping wang kertas dan sampul bagi memperingati dwiabad Singapura akan dikeluarkan sekitar Oktober atau November.

Menurut MAS, dua juta keping wang kertas itu sudahpun habis ditukar di bank-bank dalam tempoh seminggu selepas ia dilancarkan pada Isnin.

"MAS akan memaklumkan orang ramai sebaik saja S$20 baru itu siap," menurut bank pusat itu.

Dilancarkan oleh Presiden Halimah Yacob pada 5 Jun untuk memperingati dwiabad Singapura, dua juta keping wang kertas khas S$20 mula ditawarkan di sembilan bank utama pada Isnin.

Pada Selasa, beratus-ratus tawaran untuk menjual wang kertas itu dilaporkan di Carousell dan eBay, dengan harga yang ditawarkan mencecah S$988.

Wang kertas S$20 itu melambangkan perjalanan Singapura sebagai sebuah negara dan memberi penghormatan kepada para perintis yang membangunkan Singapura moden.

Setiap wang kertas dilampirkan dalam sampul khas.

- CNA/TQ/tq

Top