Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MAS buat laporan polis tentang rencana States Times Review yang 'mempersoal integritinya'

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memfailkan laporan kepada Pasukan Polis Singapura tentang satu rencana online yang menurutnya, membuat kenyataan "palsu dan berniat jahat" di samping mempersoalkan integritinya.

Anggaran Waktu Membaca:
MAS buat laporan polis tentang rencana States Times Review yang 'mempersoal integritinya'

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 09 Nov 2018 10:35AM Dikemas Kini : 09 Nov 2018 11:03AM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memfailkan laporan kepada Pasukan Polis Singapura tentang satu rencana online yang menurutnya, membuat kenyataan "palsu dan berniat jahat" di samping mempersoalkan integritinya.

Bank pusat itu menyatakan pada Jumaat (9 Nov) bahawa ia akan memfailkan laporan terhadap penulis rencana yang diterbitkan States Times Review, sebuah laman berita alternatif.

Rencana bertajuk "Lee Hsien Loong menjadi sasaran siasatan utama 1MDB" mendakwa Malaysia sudah memeterai beberapa perjanjian yang tidak adil dengan Singapura bagi mendapatkan bantuan bank-bank di sini untuk melakukan pengubahan haram dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad.

"Penguasa Kewangan Singapura memfailkan satu laporan dengan Pasukan Polis Singapura terhadap penulis rencana yang diterbitkan di www.statestimesreview.com pada 5 Nov 2018, yang membuat kenyataan palsu dan berniat jahat di samping mempersoalkan integriti MAS sebagai pengawal atur kewangan," menurutnya.

MAS menyifatkan rencana itu sebagai "tidak berasas dan fitnah".

"Rencana itu tidak menghiraukan tindakan-tindakan keras yang diambil MAS buat pertama kalinya dalam tempoh dua tahun lalu, terhadap bank-bank dan pemilik bank yang berpangkalan di Singapura berhubung peranan mereka dalam urus niaga berkaitan 1MDB. Malah, MAS seringkali bertindak lebih pantas daripada penguatkuasaan bidang kuasa asing," menurutnya.

"Ia turut membuat dakwaan palsu bahawa Singapura dipaksa untuk membuka semula siasatan terhadap 1MDB hanya selepas perubahan kepimpinan politik di Malaysia."

Siasatan terhadap dana pelaburan negara itu tidak pernah ditutup, menurut bank pusat itu.

"Di Sidang Media bagi Laporan Tahunan pada 2016 dan 2017, MAS sudah menjelaskan bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk menyiasat sebarang petunjuk atau bukti berkaitan aliran dana berkaitan 1MDB," tambahnya. "Ini ditekankan lagi dalam kenyataan awam yang secara bersama dikeluarkan MAS, Pejabat Peguam Negara dan Pasukan Polis Singapura pada 8 Jun 2018."

Tambahan lagi, pihak berkuasa Singapura sudah memberi kerjasama dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia, Switzerland, Luxembourg dan Amerika Syarikat semasa pentadbiran kerajaan Malaysia sebelumnya, tambah MAS.

"MAS meletakkan setinggi-tinggi keutamaan dalam melindungi integritinya sebagai pengawal atur kewangan, dan memandang serius sebarang dakwaan palsu."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan