Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Maruah, Think Centre kritik draf undang-undang campur tangan asing FICA

Kawalan ke atas badan awam "sudah cukup ketat"; FICA yang diusulkan timbulkan pelbagai ketidakpastian yang mungkin boleh bataskan kerjasama serantau, menurut Maruah dan Think Centre.

Anggaran Waktu Membaca:
Maruah, Think Centre kritik draf undang-undang campur tangan asing FICA

(Gambar fail: Hani Amin)

Diterbitkan : 23 Sep 2021 12:09PM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 12:21PM

SINGAPURA: Dua kumpulan masyarakat awam di Singapura, yang akan tertakluk di bawah draf undang-undang berhubung campur tangan asing, menjangkakan penyeliaan dan pemeriksaan yang lebih teliti terhadap kegiatan mereka sekiranya rang undang-undang tersebut diluluskan.

Pelbagai tanda tanya turut bermain di fikiran mereka termasuk apa yang dikira sebagai pengaruh asing dan sama ada mereka akan dibenarkan untuk meneruskan kegiatan dengan kumpulan luar negara.

Cik Braema Mathi, setiausaha kumpulan hak asasi manusia Maruah iaitu satu daripada dua kumpulan masyarakat awam tersebut, bertanya: "Di manakah kita boleh meletakkan had pada prinsip campur tangan asing ini?"

Di bawah Rang Undang-Undang (Langkah Tindak Balas) Campur Tangan Asing atau FICA, yang dibentangkan di Parlimen Isnin lalu (13 Sep), pihak berkuasa boleh menentukan individu dan entiti tertentu sebagai "individu penting dari segi politik".

Mereka akan dikenakan langkah-langkah lebih ketat termasuk perlu membuat pengisytiharan berkala mengenai sebarang kaitan dengan entiti luar serta melaporkan sumbangan derma sebanyak S$10,000 atau lebih.

Undang-undang baru itu, jika diluluskan, akan menggantikan Akta Sumbangan Politik sedia ada yang sudahpun mengenakan sekatan tertentu terhadap sumbangan kepada parti dan persatuan politik.

Semua persatuan politik yang diwartakan di bawah Akta Sumbangan Politik akan ditetapkan secara automatik sebagai individu penting dari segi politik di bawah FICA.

Buat masa ini, dua pertubuhan bukan pemerintah (NGO) diwartakan seperti itu: Maruah dan Think Center, yang juga merupakan sebuah kumpulan hak asasi manusia.

TAKRIFAN TIDAK JELAS

Bercakap kepada Mediacorp, para wakil kedua-dua kumpulan itu mengkritik beberapa peruntukan dalam rang undang-undang setebal 249 muka surat itu. Mereka mengatakan ia menandakan kurangnya kepercayaan pemerintah terhadap rakyatnya.

Dr Adrian Heok, presiden Think Center, berkata cara FICA dilakarkan membayangkan seolah-olah semua orang asing mempunyai "motif tersembunyi". Beliau berkata draf tersebut menggunakan ancaman terhadap keselamatan negara sebagai alasan untuk menghadkan dan mengekang kebebasan rakyat untuk bersuara, berkumpul dan berpersatuan.

"Ia mempersoal integriti warganya dan menganggap mereka sebagai orang yang tidak boleh berfikir untuk diri sendiri," katanya.

Think Center adalah anggota Forum Asia, sebuah NGO antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan undang-undang yang diusulkan itu akan memperkukuhkan kemampuan Singapura untuk mengesan dan menangkis campur tangan asing dalam urusan politik dalam negeri melalui proksi tempatan seperti tokoh politik, pertubuhan dan individu yang penting dari segi politik.

Cik Mathi berkata Maruah menyertai mesyuarat secara berkala dengan kumpulan negara-negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sebagai wakil Singapura ke kumpulan kerja serantau perkumpulan itu untuk mekanisme hak asasi manusia.

Kini terdapat ketidakpastian mengenai sama ada kegiatan tersebut akan dianggap sebagai sejenis campur tangan asing yang perlu diisytiharkan oleh Maruah. Beliau juga prihatin jika kumpulan hak asasi manusia itu akan dilarang daripada mengambil bahagian dalam perbincangan itu pada masa depan.

Isu-isu yang dibincangkan oleh Maruah dengan wakil-wakil ASEAN yang lain termasuk penyeludupan serta pemerdagangan wanita dan kanak-kanak rentas sempadan.

"Sekiranya anda merasakan bahawa semua ini harus dibataskan oleh sempadan negara, saya tidak fikir kita bertindak dengan bijak," kata Cik Mathi.

Beliau menambah bahawa kelulusan FICA bererti satu peluang yang terlepas untuk mendidik rakyat Singapura agar lebih bijak menilai maklumat yang dibaca online.

‘KAWALAN SUDAH CUKUP KETAT’

Di bawah undang-undang yang diusulkan, mana-mana warga Singapura, individu yang menetap di sini atau pertubuhan yang didaftarkan secara tempatan boleh ditetapkan sebagai individu yang penting dari segi politik jika kegiatan mereka bertujuan mencapai matlamat politik dan jika "pihak berkuasa yang layak" yang dilantik menilai bahawa ia adalah demi kepentingan umum untuk melaksanakan langkah-langkah ke atas mereka.

Sekiranya terdapat peningkatan dalam risiko campur tangan asing, pihak berkuasa yang layak boleh mengeluarkan "langkah-langkah tindak balas yang dipertingkat" termasuk mengeluarkan arahan agar mereka menamatkan hubungan mereka dengan individu atau kumpulan asing.

Individu penting dari segi politik juga boleh dilarang daripada membenarkan orang asing untuk menjadi relawan bagi kegiatan politik mereka, menjadi ahli atau memegang peranan kepimpinan dalam pertubuhan itu.

Kedua-dua perlembagaan Think Centre dan Maruah melarang individu bukan warga Singapura daripada menganggotai kumpulannya. Mereka juga tidak mempunyai mana-mana relawan asing.

"Saya mendapati kawalan sudah cukup ketat walaupun tanpa FICA," katanya Cik Mathi. "Menjadi persatuan politik adalah suatu penjenamaan yang sangat berat yang kami pikul. Mengapa perlu letakkan perkara yang berat itu jika (anda melihat) pada apa yang cuba kami lakukan? "

Maruah tidak pernah menerima sumbangan derma yang banyak. Ini sebahagiannya disebabkan oleh label mereka sebagai sebuah persatuan politik, tambah beliau.

Usaha pengumpulan dana secara besar-besaran yang kali terakhir dilakukan lebih 10 tahun lalu hanya berjaya mengutip S$3,000. Cik Mathi menjelaskan ini adalah kerana orang ramai takut sumbangan mereka perlu diisytiharkan.

Derma kecil-kecilan adalah berguna, namun tidak ia membenarkan Maruah membuat perancangan lebih awal atau memperluaskan pertubuhannya.

Cik Mathi juga berkata oleh kerana labelnya sebagai sebuah persatuan politik, sekolah-sekolah juga jarang mahu menjemput kumpulan itu untuk memberi ceramah mengenai isu-isu.

Dr Heok dari Think Center berkata rakyat Singapura harus mempersoalkan sebab-sebab dan mempertimbangkan kelebihan bagi setiap undang-undang baru yang diusulkan.

Beliau menambah: "Para anggota parlimen mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk mendapatkan jawapan menyeluruh dan menjelaskan alasannya dengan jelas kepada semua rakyat".

Rang undang-undang itu akan dibahaskan di sidang parlimen berikutnya pada 4 Oktober.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan