Images
  • stanchat
    Orang ramai yang beratur panjang untuk menyimpan beg mereka. (Gambar: Facebook / Ah Ben)

Maraton StanChart: Para peserta mengadu penganjuran kurang memuaskan, masalah app

SINGAPURA: Para peserta Maraton Standard Chartered Singapura meluahkan kekecewaan di media sosial mengenai penganjuran acara larian tersebut yang berlangsung semalam (3 Dis).

Antara aduan yang diterima termasuk waktu menunggu yang lama untuk menyimpan barangan mereka.

Ini menyebabkan sebilangan mereka terlepas waktu permulaan bagi acara larian mereka.

Tambahan pula, terdapat masalah perhubungan pada aplikasi telefon bijak mereka dan pengurusan kurang cekap dalam pengagihan kemeja T kepada peserta.

Kebanyakan peserta berkata mereka terpaksa menunggu sekurang-kurangnya sejam untuk menyimpan barangan mereka dan lewat memulakan perlumbaan.

Menjawab salah satu kenyataan di Facebook, pihak penganjur maraton meminta maaf kepada peserta kerana terpaksa masa menunggu yang lama.

"Terima kasih kerana memaklumkan kepada kami dan kami meminta maaf kerana anda terpaksa masa menunggu yang lama. Kami sudah memberitahu kakitangan kami untuk memperbaiki situasi dan menambah jumlah tenaga manusia diperlukan. Kami meminta maaf sekali lagi, dan sedang cuba sedaya upaya untuk menghuraikan situasi ini," menurut catatan tersebut.

Seorang peserta, Janice Leong, 27 tahun memberitahu Mediacorp bahawa beliau terpaksa menunggu selama 45 minit untuk menyimpan begnya.

"Hanya membazirkan masa. Amat mengecewakan," kata Cik Leong.

Seorang lagi peserta mengeluh bahawa masa untuk mendapatkan semula barangannya juga terlalu lama, lebih 45 minit, selepas beliau beratur di lorong yang salah kerana kurangnya arahan dan panduan dari kakitangan.

Beberapa peserta lagi berkata mereka tidak mendapat saiz kemeja-T yang sudah mereka daftarkan lebih awal lagi.

Bahkan, tidak ada kakitangan untuk menguruskan pengagihan baju-baju tersebut.

Para peserta yang ingin memantau prestasi mereka menggunakan aplikasi MaratonStandard Chartered Singapura di telefon mereka juga tidak dapat berbuat demikian.

Menurut mereka aplikasi tersebut tidak merakam masa larian mereka dengan tepat.

Seramai 48,400 peserta dari 126 negara mengambil bahagian dalam acara maraton penuh (42 kilometer), separuh maraton (21 kilometer), cabaran 10 kilometer, Ekiden dan kategori larian kanak-kanak.

Mediacorp sudah menghubungi pihak penganjur maraton tersebut untuk mendapatkan komen.  

- CNA/FA/fa

Top