Images
  • bob hawke
    Gambar fail mantan PM Australia Bob Hawke (Gambar; AFP)

Mantan PM Australia Bob Hawke 'rakan baik Singapura': PM Lee

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (17 Mei) melahirkan ucapan takziah di atas pemergian mantan perdana menteri Australia, Bob Hawke.

Mantan pemimpin yang memegang jawatan tersebut dari 1983 hingga 1991, meninggal dunia pada Khamis pada usia 89 tahun.

Beliau yang merupakan perdana menteri dari parti Buruh yang paling lama memegang jawatan, dikenali kerana menyokong pembatalan kawal selia ekonomi dan melaksanakan perubahan yang mencetuskan pertumbuhan ekonomi.

Dalam surat kepada Perdana Menteri Australia Scott Morrison pada Jumaat, Encik Lee menyampaikan "takziah yang mendalam" di atas pemergian "seorang rakan baik".

"Encik Hawke ialah seorang rakan baik kepada Singapura. Beliau merapatkan hubungan dengan para pemimpin kami dan hubungan dua hala telah berkembang," kata Encik Lee.

Beliau menambah bahawa Encik Hawke, yang mengadakan lawatan ke Singapura pada 1984, 1987 dan 1989, menyokong hubungan lebih rapat antara Australia, Singapura dan negara-negara Asia yang lain.

"Peranan penting Encik Hawke dalam menubuhkan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) akan sentiasa dikenang, terutamanya pada masa persetujuan antarabangsa terhadap perdagangan bebas menghadapi cabaran," kata Encik Lee.

"Pada 1989 saya menghadiri persidangan APEC pertama di Canberra selaku Menteri Perdagangan dan Perusahaan. Beberapa tahun kemudian, saya berbesar hati menyambut kedatangan Encik Hawke ke Singapura apabila negara ini menjadi tuan rumah bagi sidang APEC 2009."

Encik Lee menyifatkan mendiang sebagai tokoh besar dalam perhubungan antarabangsa yang akan "dirindui ramai".

"Ingatan saya dan Ho Ching bersama keluarga Encik Hawke dan warga Australia pada masa kehilangan ini," tambah Encik Lee.

- CNA/TQ/tq

Top