Images
  • woman computer phone
    (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Mangsa rugi lebih S$74,000 gara-gara pelaburan palsu

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 55 tahun ditangkap selepas seorang wanita didakwa ditipu lebih S$74,000 melalui satu pelaburan palsu, menurut polis pada Rabu (16 Sep).

Polis menyatakan pihaknya menerima aduan daripada mangsa berkenaan pada 14 Ogos, yang berkata beliau diarahkan seorang lelaki yang dijadikan kawan secara online bagi mendaftar akaunnya dengan platform pelaburan online.

Seperti diarahkan rakan onlinenya itu, wanita berkenaan memindahkan lebih S$74,000 antara 5 Ogos dengan 6 Ogos ke akaun bank yang ditetapkan.

Selepas pemindahan dana itu dilakukan, wanita tersebut mendapati akses akaunnya disekat dan beliau tidak dapat memasuki platform pelaburan online itu atau mengembalikan wang yang dipindahkannya itu.

Melalui siasatannya, para pegawai Divisyen Polis Bedok mengenal pasti lelaki terbabit dan memberkasnya pada 14 September.

Siasatan awal mendedahkan lelaki berkenaan adalah pemilik akaun bank yang menerima pemindahan wang wanita tersebut.

Dia juga disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya enam kes serupa, di mana para mangsanya melaporkan kerugian bernilai lebih S$197,000.

Siasatan terhadap lelaki tersebut sedang dijalankan.

Jika didapati bersalah atas tuduhan menipu, lelaki tersebut boleh dihukum penjara 10 tahun dan didenda. Dia juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah mengubah wang haram.

"Polis memandang serius terhadap sesiapa yang mungkin terlibat dalam penipuan, dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang," menurut polis dalam kenyataan medianya.

"Bagi mengelakkan diri daripada dijadikan rakan subahat dalam melakukan jenayah, orang ramai harus sentiasa menolak permintaan orang lain untuk menggunakan akaun bank atau nombor telefon kerana anda akan dipertanggungjawabkan jika akaun-akaun ini dikaitkan dengan urus niaga haram," tambahnya.

Bagi maklumat lanjut berhubung penipuan, orang ramai boleh melayari laman 'Scam Alert' atau menghubungi Hotline Antipenipuan di 1800-722-6688. Sesiapa yang memiliki maklumat berhubung penipuan seumpama itu boleh menghubungi Hotline Polis di 1800-255 0000 atau menyerahkan maklumat secara online.

- CNA/IM/im

Top