Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Manfaat vaksin mRNA COVID-19 'terus melebihi' risiko koronavirus: panel pakar

Manfaat menerima vaksin mRNA COVID-19 terus melebihi risiko vaksinasi, kata jawatankuasa pakar Singapura mengenai vaksinasi COVID-19 Ahad (27 Jun) sebagai menjawab surat terbuka oleh sekumpulan doktor.

Anggaran Waktu Membaca:
Manfaat vaksin mRNA COVID-19 'terus melebihi' risiko koronavirus: panel pakar

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 28 Jun 2021 09:35AM Dikemas Kini : 28 Jun 2021 09:39AM

SINGAPURA: Manfaat menerima vaksin mRNA COVID-19 terus melebihi risiko vaksinasi, kata jawatankuasa pakar Singapura mengenai vaksinasi COVID-19 Ahad (27 Jun) sebagai menjawab surat terbuka oleh sekumpulan doktor.

Jawatankuasa yang dilantik pemerintah itu pada awal bulan ini menarik perhatian tentang kemungkinan dos kedua vaksin mRNA mungkin dikaitkan dengan risiko kecil untuk miokarditis dan perikarditis dalam golongan pemuda.

Miokarditis adalah keadaan di mana terjadi peradangan yang menjejas otot jantung manakala perikarditis adalah keradangan pada lapisan luar jantung.

"Penilaian kami adalah bahawa manfaat menerima vaksin mRNA COVID-19 terus melebihi risiko vaksinasi," kata panel itu. "Data mengenai miokarditis dan perikarditis tidak berubah sejak itu, dan penilaian Jawatankuasa Pakar tidak berubah."

Komen jawatankuasa tersebut pada Ahad adalah respons kepada surat terbuka oleh sekumpulan doktor, termasuk seorang pakar jantung yang tersebar di media sosial.

Ia yang meminta supaya pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan muda Singapura dihentikan buat sementara waktu menyusuli laporan siasatan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengenai seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang meninggal dunia selepas diberi dos kedua vaksin mRNA.

Respons itu juga menarik perhatian kepada laporan antarabangsa baru-baru ini tentang hubungan antara miokarditis dengan dos kedua vaksin mRNA dalam golongan pemuda.

Singapura menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk program vaksinasi nasionalnya, yang kedua-duanya merupakan vaksin berasaskan mRNA.

"Catatan media sosial itu menyatakan bahawa budak lelaki berusia 13 tahun dari Amerika Syarikat itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung, walaupun punca kematian belum diumumkan dan kes itu kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat," kata jawatankuasa itu.

Menurut jawatankuasa itu, data Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kes miokarditis akibat pemberian vaksin mRNA jarang terjadi, dengan hampir semua kes seperti itu dapat diselesaikan dengan campur tangan perubatan yang minimum.

"Persatuan perubatan profesional di Amerika Syarikat, termasuk Kolej Pediatrik Amerika dan Persatuan Jantung Amerika terus menggalakkan pemberian vaksin kepada golongan yang berusia 12 tahun dan ke atas," kata jawatankuasa itu, sambil menambah bahawa ia terus mengesyorkan penggunaan vaksin mRNA COVID-19 untuk golongan pemuda.

Jawatankuasa pakar itu berkata ia terus menasihati mereka yang sudah mendapat vaksin, terutama golongan remaja dan lelaki muda, supaya mengelakkan daripada melakukan aktiviti fizikal yang berat selama seminggu selepas mendapat dos kedua mereka.

Mereka juga harus mendapatkan rawatan perubatan dengan segera sekiranya mereka mengalami sakit dada, sesak nafas atau degupan jantung yang tidak normal.

Jawatankuasa itu menyatakan pihaknya akan terus memantau data dan menyemak nasihat yang dikeluarkan jika perlu.

Komen jawatankuasa pakar pada Ahad itu menyusuli satu kenyataan serupa yang dibuat bulan lalu sebagai menjawab satu lagi surat terbuka oleh 12 doktor yang mencadangkan supaya kanak-kanak diberi vaksin COVID-19 bukan berasaskan mRNA, atas kebimbangan kesan sampingan jangka panjang "tidak diketahui dan belum dikaji".

Sebelas daripada 12 doktor itu kemudian menarik balik kenyataan mereka.

Awal bulan ini, mesej-mesej di media sosial mendakwa bahawa vaksin virus COVID-19 yang tidak aktif - seperti Sinovac China - lebih berkesan terhadap varian COVID-19 daripada vaksin berasaskan mRNA, mendorong jawatankuasa tersebut untuk menolak dakwaan tersebut. 

LAPORAN BERKAITAN:

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan