Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Malukan individu yang tidak ikut peraturan COVID-19 boleh langgar undang-undang: Peguam

Dengan langkah-langkah membendung COVID-19 diperketat sepanjang beberapa minggu lalu, sesetengah pengguna media sosial bertindak memalukan orang lain kerana tidak mematuhi peraturan tersebut. Namun mereka sendiri mungkin melanggar undang-undang 'doxxing' yang baru, kata beberapa peguam jenayah.

Anggaran Waktu Membaca:
Malukan individu yang tidak ikut peraturan COVID-19 boleh langgar undang-undang: Peguam

(Lukisan: Anam Musta'ein/TODAY)

Diterbitkan : 27 Apr 2020 12:29AM Dikemas Kini : 27 Apr 2020 12:35AM

SINGAPURA: Dengan langkah-langkah membendung COVID-19 diperketat secara bertahap-tahap sepanjang beberapa minggu lalu, sesetengah pengguna media sosial bertindak memalukan orang lain kerana tidak mematuhi peraturan tersebut.

Namun mereka sendiri mungkin melanggar undang-undang 'doxxing' yang baru, kata beberapa peguam jenayah yang dihubungi Mediacorp.

'Doxxing' adalah perbuatan mendedahkan maklumat peribadi seseorang, seperti gambar dan maklumat untuk dihubungi, dengan tujuan untuk mengganggu orang berkenaan.

Ditadbir di bawah Akta Perlindungan dari Gangguan (POHA), undang-undang itu mula berkuat kuasa pada 1 Januari tahun ini selepas beberapa perubahan kepada Akta itu diluluskan di Parlimen tahun lalu.

Beberapa kumpulan Facebook yang mendedahkan orang-orang yang melanggar peraturan pemutus jangkitan atau "circuit breaker" telah muncul baru-baru ini. Salah satu daripadanya ialah SG Covidiots yang merupakan kumpulan terbesar seumpama itu dengan 23,000 anggota setakat ini.

'Doxxing' mendapat tumpuan meluas hujung tahun lalu setelah warga siber membongkar maklumat peribadi seorang penduduk kondominium yang dirakam menganiaya seorang pengawal keselamatan dalam sebuah video yang menjadi tular.

Bagaimanapun, belum ada sesiapa yang didakwa atas kesalahan 'doxxing' secara khusus, kata jurucakap Pejabat Peguam Negara (AGC) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

BEZA ANTARA BERI KESEDARAN DENGAN MALUKAN

Para peguam berkata meskipun pengguna online ingin menyebarkan kesedaran sosial, mereka mungkin tidak menyedari kesan tindakan mereka terutama jika mereka mendorong satu sama lain secara online untuk memberi pengajaran kepada pelanggar peraturan itu.

Terdapat perbezaan meskipun tidak ketara, antara meningkatkan kesedaran masyarakat dengan memalukan orang seecara online, dan beberapa video yang tular baru-baru ini boleh dikira sebagai doxxing, kata para peguam itu.

Encik Adrian Wee, pengarah firma guaman Characterist, berkata memalukan orang secara online sudah "menjadi kelaziman" dan mereka yang melakukannya, "daripada melakukan sesuatu yang membina", boleh kelihatan seperti berniat mengganggu orang lain.

Sama ada seseorang melakukan 'doxxing' terhadap orang lain bergantung kepada niat mereka, apa yang mereka katakan dalam video dirakam atau maklumat yang mereka terbitkan online.

Di bawah Seksyen 3 dan 5 POHA, tertuduh mesti berniat untuk menyebabkan gangguan, rasa cemas atau kebimbangan, atau mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa penerbitan maklumat akan memudahkan atau menyebabkan keganasan terhadap mangsa atau orang lain.

Peguam Cory Wong dari Invictus Law Corporation menjelaskan: “Sekiranya niat saya adalah untuk memberi amaran kepada pihak berkuasa dan menasihatkan orang lain agar menjauhkan diri dari kontak disyaki COVID-19, berkemungkinan saya tidak melakukan doxxing. Namun jika niat saya adalah untuk memalukan dan mengharapkan dia ditimpa padah, maka ini mungkin dikira doxxing."

Para peguam yang dihubungi memberi beberapa contoh yang mereka lihat online yang mungkin merupakan perbuatan doxxing.

Encik Ashwin Ganapathy dari RHB Law merujuk kepada sebuah video tular menunjukkan pasangan berpakaian senaman yang tidak memakai pelitup. Orang yang merakam mereka mengekori mereka untuk jarak yang agak jauh, mendesak agar mereka memakai pelitup.

"Perakam video itu pada satu ketika bahkan menengking ke arah pasangan itu. Selepas itu, video tersebut dimuat naik. Oleh kerana wajah pasangan kelihatan jelas dalam video, ini akan termasuk dalam definisi ‘maklumat identiti’,” kata beliau.

Dalam beberapa kejadian, individu yang menerbitkan gambar atau video mungkin tidak menyedari bahawa masih ada maklumat yang dapat dikenal pasti meskipun wajah dikaburkan.

"Gambar seseorang itu mungkin juga mengandungi maklumat peribadi yang mungkin tidak disedari oleh pihak yang memuat naiknya, seperti nombor unit atau nombor daftar kenderaan pada latarnya," tambah Encik Wee.

TIADA ALASAN MUNASABAH MALUKAN ORANG ONLINE

Encik Joel Ng dari Quahe Woo & Palmer berkata bahawa undang-undang 'doxxing' dikuatkuasakan "untuk mengatasi sikap ikut-ikutan seperti ini".

Keadaan juga boleh menjadi lebih teruk jika identiti pihak yang dimalukan itu salah, tambahnya.

Mereka yang menumpukan pada apa yang dilihat sebagai kesalahan orang lain mungkin ingin mengambil tindakan tetapi "dua kesalahan tidak membetulkan keadaan", kata Encik Chua Hock Lu dari Kalidass Law Corporation, yang berkata bahawa mangsa 'doxxing' juga boleh membuat tuntutan sivil di bawah POHA.

Encik Ganapathy berkata dalam kebanyakan situasi, sukar untuk "mengenal pasti sebarang alasan munasabah untuk memuat naik video atau gambar sedemikian".

"Jika tujuannya adalah agar pihak dituduh bersalah itu disiasat, maka perakam video hanya perlu menunjukkan video tersebut kepada pihak polis. Tindakan vigilante menggugat kedaulatan undang-undang dan tidak mempunyai tujuan yang sah,” katanya.

Para peguam menasihati individu untuk sebaliknya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa seperti polis atau melalui aplikasi mudah alih OneService yang kini membolehkan orang awam melaporkan kes jarak selamat yang tidak dipatuhi.

Maklumat itu akan membantu agensi-agensi berkenaan untuk mengenalpasti "tempat tumpuan" dan meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan di sana, kata Kementerian Sekitaran dan Sumber Air di laman webnya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan