Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Maklumat peribadi hampir 80,000 pelanggan terjejas dalam 'insiden' data MyRepublic

MyRepublic Singapore hari ini (10 Sep) menyatakan ia mengesan satu "insiden mengakses data tanpa izin" yang menjejas 79,388 pelanggan.

Anggaran Waktu Membaca:
Maklumat peribadi hampir 80,000 pelanggan terjejas dalam 'insiden' data MyRepublic

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 10 Sep 2021 01:35PM Dikemas Kini : 10 Sep 2021 01:40PM

SINGAPURA: MyRepublic Singapore hari ini (10 Sep) menyatakan ia mengesan satu "insiden mengakses data tanpa izin" yang menjejas 79,388 pelanggan.

Kejadian itu berlaku pada 29 Ogos dan menjejas para pelanggan khidmat mudah alih MyRepublic yang berpangkalan di Singapura, menurut syarikat telko tempatan itu.

"Akses data tanpa kelulusan itu berlaku pada satu wadah penyimpanan data pihak ketiga yang digunakan untuk menyimpan data peribadi para pelanggan khidmat mudah alih MyRepublic," ia menyatakan dalam satu kenyataan.

Wadah itu mengandungi dokumen pengesahan identiti berkaitan dengan permohonan para pelanggan, menurut syarikat itu.

Ini termasuk salinan depan belakang kad pengenalan para pelanggan terjejas yang merupakan rakyat Singapura, penduduk tetap atau pemegang pas kerja dan pas tanggungan.

Bagi para pelanggan warga asing yang terjejas, data itu termasuk dokumen yang menunjukkan bukti alamat rumah seperti salinan bil api air.

Bagi para pelanggan yang melakukan pemindahan nombor telefon daripada khidmat mudah alih sedia ada, data terjejas termasuk nama dan nombor telefon mereka.

"Tiada tanda" bahawa data peribadi lain seperti maklumat akaun atau bayaran terjejas, menurut MyRepublic.

"Akses tanpa kelulusan kepada kemudahan penyimpanan data sudah pun ditangani dan insiden itu dapat dikawal," menurut syarikat itu.

Ia menambah bahawa "tiada sistem MyRepublic yang mengalami kebocoran data dan tiada kesan operasi ke atas khidmat MyRepublic".

Ketua Pegawai Eksekutif MyRepublic Malcolm Rodrigues berkata "tiada bukti" menunjukkan mana-mana data peribadi disalahgunakan dan syarikat itu akan menghubungi para pelanggan yang mungkin terjejas untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.

"Kami juga akan menyemak semua sistem dan proses, dalaman dan luaran, untuk memastikan bahawa insiden sedemikian tidak akan berulang," katanya.

Kesemua pelanggan terjejas akan ditawarkan khidmat pemantauan kredit percuma melalui Biro Kredit Singapura, yang akan memantau laporan kredit mereka dan memaklumkan kepada mereka tentang sebarang aktiviti mencurigakan, menurut syarikat telko itu.

MyRepublic menyatakan ia sudah memaklumkan kepada Penguasa Pembangunan Infokom Media dan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi tentang kejadian itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Ia juga sudah mengaktifkan pasukan respons kejadian siber.

"Keselamatan para pelanggan kami adalah sangat penting bagi kami di MyRepublic. Seperti anda, kami sangat kecewa dengan apa yang berlaku dan saya ingin meminta maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku," kata Encik Rodrigues.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan