Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin ramai relawan bantu banduan & keluarga tanda "masa depan cerah untuk masyarakat"

Amrin Amin memuji usaha masyarakat berganding bahu untuk mencapai matlamat bidang tumpuan M³.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah sukarelawan yang semakin ramai tampil membantu banduan dan keluarga mereka menandakan "masa depan cerah untuk masyarakat".

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin di majlis pelancaran Bidang Tumpuan Kedua M³, yang diadakan di Masjid As-Syafaah hari ini (16 Nov).

Dalam ucapannya, Encik Amrin melahirkan rasa sangat bangga atas semangat yang kesungguhan masyarakat Melayu/Islam demi membantu golongan yang memerlukan, termasuk para banduan dan keluarga mereka.

Beliau memuji usaha masyarakat berganding bahu untuk mencapai matlamat bidang tumpuan M³.

"Mereka menyahut cabaran yang telah kita ketengahkan ini. Yang lebih penting sekali ialah mereka ingin menyingsing lengan, mereka ingin membantu. Saya rasa ini satu semangat yang baik dan menunjukkan masa depan yang cerah untuk masyarakat kita," kata Encik Amrin.

Bidang Tumpuan Kedua M³, menyasarkan untuk terus menggembleng tenaga masyarakat dalam membantu para banduan serta keluarga mereka.

Ini menerusi inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga atau FITRAH, MENDAKI dan juga PA MESRA.

INISIATIF-INISIATIF FITRAH

Inisiatif-inisiatif FITRAH misalnya sudah berjaya menarik 130 kaunselor agama dan 196 sukarelawan pendamping masyarakat.

Semasa dimulakan pada November 2018, FITRAH tidak mempunyai para pendamping masyarakat.

Daripada 196 sukarelawan pendamping masyarakat itu, 78 sudah dilatih, 30 sudahpun dikerahkan dan 17 baru sahaja tamat menjalani latihan dan menerima sijil mereka hari ini. Sekalipun demikian, MUIS memberitahu BERITAmediacorp, lebih ramai sukarelawan perlu direkrut dan dilatih.

Para pendamping masyarakat itu akan bekerjasama dengan sukarelawan dari Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP) untuk melakukan lawatan dari rumah ke rumah anggota keluarga para banduan. Ini bagi merujuk mereka kepada bantuan-bantuan sosial yang ada.

Pakej-pakej 'Kembali kepada FITRAH', yang mengandungi maklumat bantuan, kad EZLink dan baucar makanan, yang diberikan kepada para banduan juga sudah meningkat kepada 120 daripada hanya 25 sekitar bulan Mei tahun ini.

"Ini hanyalah satu langkah permulaan. Walaupun kita telah membuat kemajuan yang baik dan walaupun ada perkara-perkara yang kita boleh raikan bersama kita perlu secara masyarakat, agensi-agensi yang bertugas ini untuk mengemas kembali usaha-usaha, untuk memikirkan cara yang sebenar-benarnya dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan," kata Encik Amrin.

KURIKULUM BARU BELAJAR AGAMA DIMULAKAN DISEMBER INI

Malah, satu kurikulum baru pembelajaran agama yang dipertingkat akan dimulakan bulan depan bagi membantu para banduan mempersiap diri bagi kehidupan selepas keluar dari penjara.

Perinciannya hanya akan diberikan bulan depan.

Selain itu, khutbah-khutbah Jumaat juga sudah disesuaikan untuk banduan.

"Selepas kita menubuhkan M³ ini kita telah melihat bagaimana kita boleh dapat membantu pesalah-pesalah di penjara dengan lebih berkesan lagi. Jadi antaranya ialah keperluan agama mereka. Jadi kita telah bekerjasama dengan Pejabat Mufti di mana kita telah mengubah dan membuat khutbah-khutbah yang tertumpu kepada keperluan sosioemosi para pesalah supaya mereka dapat mengisi ruang yang kosong dalam hati mereka," ujar Encik Amrin.

"Di dalam penjara masalah-masalah yang mereka hadapi banyak perbezaannya jadi dengan mengubahkan khutbah Jumaat tadi ia dapat memberi lebih tumpuan kepada masalah yang mereka hadapi tadi," tambah Penolong Pengarah Divisyen Pembangunan Dasar Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Eddy Asmara Rahman, yang merupakan anggota sekretariat M³.

Salah seorang sukarelawan dan kaunselor agama di penjara, Ustaz Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed, berkata dengan pengalaman yang luas daripada lebih ramai asatizah pula, khutbah-khutbah dapat ditulis mengikut keperluan para banduan dan kurikulum kaunseling akan lebih holistik.

Ustaz Dr Muhammad Mubarak yang merupakan sukarelawan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), juga memanfaatkan kepakarannya dalam bidang pendidikan dan penyusunan kurikulum untuk membentuk pemikiran positif dalam diri para banduan.

"Saya membantu para banduan dengan cara untuk melihatkan kepada mereka apakah cara pemikiran yang betul supaya mereka masih dapat menyalurkan rasa rahmah kepada orang-orang yang berada di sekeliling mereka," kata Ustaz Dr Muhammad Mubarak

"Orang-orang yang berada di sekeliling mereka itu bukan sahaja keluarga mereka tetapi rakan-rakan mereka yang ada bersama mereka di penjara. Cara pemikiran yang betul akan memberi kesan kepada perbuatan mereka," jelas Ustaz Dr Mubarak.

MENDAKI, PA MESRA SAMA-SAMA MAIN PERANAN

Peranan MENDAKI dalam Bidang Tumpuan Kedua adalah untuk mewujudkan sistem sokongan buat anggota keluarga para banduan.

Ia merintis kumpulan Lingkaran Kecemerlangan Keluarga (FEC) pada Julai lalu untuk anggota keluarga yang dewasa dan sudah mempunyai 12 anggota daripada sembilan keluarga.

Kumpulan itu memberi ruang kepada keluarga para banduan untuk berkongsi pengalaman dalam ruang yang selamat.

Bagi anak-anak mereka pula, MENDAKI mengadakan sesi-sesi Terapi Seni yang membolehkan mereka meluahkan isi hati, meneroka imaginasi dan kreativiti, mempertingkat keyakinan diri serta kesedaran.

Manakala, PA MESRA sudah merekrut lebih 30 peratus sukarelawan Melayu bagi M³ - berbanding hanya 24 peratus sebelum ini untuk menyokong YRCP dan usaha-usaha pendampingan yang dijalankan.

Ia juga menawarkan kursus-kursus kepada bekas banduan dan keluarga mereka supaya dapat menimba kemahiran-kemahiran baru dan berinteraksi dengan masyarakat.

(Gambar: M³)

M³ juga menetapkan lagi dua bidang tumpuan lain. Bidang Tumpuan Pertama adalah untuk memperkukuh asas dalam perkahwinan, keibubapaan dan pembangunan Awal Kanak-Kanak dan Bidang Tumpuan Ketiga adalah untuk memperkasa dan membimbing belia.

Dengan pelancaran Bidang Tumpuan kedua ini, bermakna, kesemua tiga bidang tumpuan M³ sudah dimulakan dan sedang rancak dijalankan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan