Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin ramai pasangan jalani kaunseling semasa pemutus jangkitan, bekerja dari rumah jejas mahligai dibina

Selepas berbulan-bulan bertengkar ditambah pula dengan rasa tertekan kena duduk dalam rumah buat jangka masa yang panjang semasa tempoh pemutus jangkitan COVID-19, Jack dan Rose mempertimbangkan untuk bercerai kerana menganggapnya "lebih baik daripada terus menyakiti perasaan" satu sama lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Makin ramai pasangan jalani kaunseling semasa pemutus jangkitan, bekerja dari rumah jejas mahligai dibina

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 11 Oct 2020 09:11PM Dikemas Kini : 11 Oct 2020 09:32PM

SINGAPURA: Selepas berbulan-bulan bertengkar ditambah pula dengan rasa tertekan kena duduk dalam rumah buat jangka masa yang panjang semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, Jack dan Rose (bukan nama sebenar) mempertimbangkan untuk bercerai kerana menganggapnya"lebih baik daripada terus menyakiti perasaan" satu sama lain.

Dengan semua anggota keluarga terperap di rumah, bermakna lebih banyak kerja rumah yang harus dilakukan. Memandangkan ketika itu sekolah juga ditutup, pasangan berkenaan perlu mengawasi anak mereka yang berusia tujuh tahun semasa melakukan pembelajaran di rumah.

Bercakap kepada Mediacorp mengenai pengalaman pasangan itu, ketua pegawai kebajikan di Pusat Kaunseling Singapura (SCC) John Shepherd Lim berkata: "Sang isteri, sebagai pencari nafkah utama, berasa amat tertekan dan hampa kerana suaminya tidak membantu untuk meringankan beban kerja-kerja di rumah meskipun beliau juga berada di rumah."

Ini adalah "situasi yang kerap berlaku" dalam keluarga semasa tempoh pemutus jangkitan, kata Encik Lim, sambil menambah bahawa "tahap rasa sakit hati" dan "hubungan tegang" dalam kes pasangan itu berpunca darpada nada dan cara perbualan yang kasar apabila pasangan itu berkomunikasi.

Namun, mereka bukan satu-satunya pasangan yang mengalami ketegangan dalam hubungan rumahtangga setelah lama duduk di rumah dan bekerja dari rumah bersama.

Pakar terapi dan kaunselor yang dihubungi Mediacorp berkata mereka menyaksikan jumlah meningkat berhubung pasangan dan individu yang mendapatkan khidmat mereka kerana masalah hubungan.

CABARAN MENYESUAIKAN DIRI KEPADA RUTIN BARU

Alliance Counselling menyaksikan kenaikan sekitar 30 hingga 40 peratus jumlah pasangan dan individu yang menjalani sesi kaunseling sepanjang enam bulan lalu, kata pakar kaunselor Martine Hill.

Menurut Cik Hill, aturan bekerja dari rumah secara bersama boleh menimbulkan lebih banyak tekanan terhadap pasangan kerana rutin harian mereka terjejas dan mereka mendapati amat mencabar untuk menyesuaikan diri kepada perubahan itu.

Dengan berlakunya pandemik COVID-19, rutin kehidupan harian juga sudah berubah dan ramai orang tidak dapat menjelaskan apa yang sedang dialami, kata Cik Hill.

KURANG RUANG PERIBADI, BATASAN JADI KABUR

Di SCC, Encik Lim melihat kenaikan sebanyak 20 peratus dalam jumlah pasangan yang menjalani sesi kaunseling sepanjang enam bulan lalu berbanding awal tahun ini.

Ruang peribadi yang semakin berkurangan menjadi "faktor utama yang menyumbang kepada tekanan", kata Encik Lim. "Dalam setiap hubungan, digalakkan bagi setiap pasangan untuk mengekalkan keseimbangan antara ruang peribadi dan ruang bersama, kerana ruang peribadi membolehkanseseorang itu untuk mengekalkan identiti mereka serta memenuhi keperluan dan keinginan diri sendiri."

Dengan adanya pasangan yang turut bekerja dari rumah, "mengaburkan batasan antara pekerjaan dan keluarga", kata Encik Lim.

Sebelum pandemik, orang ramai dapat menumpukan perhatian terhadap pekerjaan di pejabat dan meluangkan masa bersama keluarga apabila berada di rumah. Namun, kehadiran anggota keluarga atau anak dalam ruang bekerja di rumah boleh menimbulkan pergeseran dalam tuntutan pekerjaan dan keluarga, tambahnya.

Pakar kaunselor juga berkata isu kewangan dan pekerjaan adalah satu lagi faktor yang menimbulkan perselisihan pendapat dalam kalangan pasangan.

LEBIH BANYAK PERTANYAAN MENGENAI PERCERAIAN

Meskipun Mahkamah Keadilan Keluarga menyatakan ia "belum lagi melihat trend yang meningkat dari segi jumlah kes permohonan perceraian yang difailkan", beberapa peguam memberitahu Mediacorp bahawa mereka menerima lebih banyak pertanyaan sejak permulaan tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Peguam Nureliza Syahidain Effendy dari IRB Law LLP berkata beliau menyaksikan sekurang-kurangnya 20 peratus lebih banyak pertanyaan berhubung perceraian sejak April, dengan ramai pasangan memberi sebab pemutus jangkitan sebagai punca untuk bercerai.

Isu kewangan juga merupakan satu lagi sebab yang diberikan. Dengan pendudu kehilangan pekerjaan atau terpaksa mengambil cuti tidak berbayar, faktor-faktor itu boleh menjejas mahligai yang dibina, kata Cik Nureliza.

Beberapa orang juga memfailkan perceraian kerana kes keganasan dalam keluarga.

Kes-kes sedemikian membentuk sejumlah besar pertanyaan mengenai perceraian baru-baru ini menurutnya, yang juga mengaitkan peningkatan dalam kes berlaku keganasan dalam keluarga kepada langkah pemutus jangkitan.

Namun, tidak semua pasangan yang meneruskan niat mereka untuk bercerai. Ada yang sudah memulakan prosiding, namun kemudian bertukar fikiran dan bertanya jika mereka boleh membatalkan proses itu.

TETAPKAN SEMPADAN, BERKOMUNIKASI LEBIH BAIK

Dalam menyelesaikan ketegangan dalam hubungan, pakar terapi berkata setiap pasangan harus menetapkan batasan masa dan ruang bagi memastikan keseimbangan antara ruang peribadi dan bersama.

Ini termasuk mempunyai ruang bekerja yang tetap dalam bilik berasingan. Mereka juga boleh membincangkan waktu yang ditetapkan untuk tidak diganggu, di samping memberi komitmen untuk meluangkan masa bersama keluarga pada waktu-waktu yang lain, kata Encik Lim.

Setiap pasangan juga harus memahami bahawa kedua-dua pihak sedang menjalani tempoh sukar, dengan "permintaan dan emosi yang meningkat", kata Encik Lim.

Beliau menambah: "Sementara situasi COVID-19 menimbulkan banyak pergeseran dalam hubungan, ia juga menimbulkan banyak masalah dalam gaya komunikasi dan jalinan hubungan yang perlu diperbaiki. Jika ditangani dengan bak, kita akan tampil lebih teguh dan rapat daripada krisis ini."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan