Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin ramai diberhentikan kerja pada suku pertama 2019; sektor pengilangan terjejas teruk

Bilangan pekerja yang diberhentikan meningkat pada suku pertama tahun ini, disebabkan oleh kerugian yang dialami oleh sektor pengilangan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (13 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Jun 2019 03:21PM Dikemas Kini : 13 Jun 2019 10:30PM

SINGAPURA: Bilangan pekerja yang diberhentikan meningkat pada suku pertama tahun ini, disebabkan oleh kerugian yang dialami oleh sektor pengilangan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (13 Jun).

Menurut MOM, jumlah pekerja yang diberhentikan meningkat dari 2,510 pada suku sebelumnya kepada 3,230 pada tiga bulan pertama 2019.

Ini, menurut MOM, disebabkan oleh kehilangan pekerjaan dalam sektor pengilangan (dari 380 pada suku lalu kepada 1,040) dan secara asasnya menjejas pekerja pengilangan dan pekerja berkaitan dari sektor elektronik.

Pekerja industri elektronik membentuk 18 peratus daripada kesemua pekerja yang diberhentikan pada suku pertama, diikuti oleh industri-industri perkhidmatan seperti perdagangan borong (16 peratus) dan pengangkutan dan penyimpanan.

Secara keseluruhannya, pasaran buruh kekal stabil pada suku pertama, menurut MOM. Kadar pengambilan pekerja mengatasi kadar pada tempoh yang sama tahun lalu. Pengambilan pekerja meningkat sebanyak 10,700, kecuali pembantu rumah asing.

Sektor perkhidmatan adalah pemacu utama kepada pertumbuhan pengambilan pekerja, sementara sektor binaan mencatatkan pengambilan pekerja yang meningkat buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun. Ini mencerminkan kegiatan sektor binaan awam dan swasta yang bertambah rancak.

"Pasaran buruh yang ketat mungkin akan berlalu, sedang tawaran pekerjaan merosot buat pertama kali dalam dua tahun dan bilangan pekerja yang diberhentikan meningkat pada suku ini," menurut MOM.

PENGANGGURAN JANGKA PANJANG MEROSOT

Kadar pengangguran penduduk kekal stabil pada kadar 3 peratus, sementara kadar pengangguran jangka panjang berkurangan dari 0.8 peratus pada Disember 2018 kepada 0.7 peratus pada Mac 2019.

Namun, kadar pengangguran dalam kalangan rakyat naik sedikit dari 3.1 peratus pada Disember 2018 kepada 3.2 peratus pada Mac 2019.

Jumlah kerja kosong yang disesuaikan mengikut musim merosot dari 62,300 pada Disember 2018 kepada 57,100 pada Mac 2019, iaitu kemerosotan pertama setelah menyaksikan peningkatan buat tujuh suku berturut-turut.

Namun, pada suku pertama tahun ini, jumlah kerja kosong masih melebihi bilangan pemohon kerja, meskipun nisbah kerja kosong berbanding jumlah penganggur turun sedikit dari 1.10 pada Disember 2018 kepada 1.08 pada Mac 2019. 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan