Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin kurang graduan politeknik dapat kerja dalam 6 bulan setelah tamat sekolah di tengah gangguan COVID-19

Satu tinjauan baru pada Selasa (12 Jan) menunjukkan bahawa 87.4 peratus graduan politeknik mendapat kerja dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian pada 2020 di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang mengganggu pasaran pekerjaan Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jan 2021 04:48PM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 09:23PM

SINGAPURA: Satu tinjauan baru pada Selasa (12 Jan) menunjukkan bahawa 87.4 peratus graduan politeknik mendapat kerja dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian pada 2020 di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang mengganggu pasaran pekerjaan Singapura.

Ini susut daripada 90.7 peratus pada tahun sebelumnya.

52 peratus daripada mereka yang bekerja, mendapat pekerjaan sepenuh masa, merosot daripada 61.1 peratus pada 2019, menurut perangkaan tahunan Tinjauan Pekerjaan Graduan Politeknik, yang mengumpulkan respons daripada 7,360 lulusan politeknik.

Dikendalikan bersama oleh Politeknik Nanyang, Politeknik Ngee Ann, Politeknik Republic, Politeknik Singapura dan Politeknik Temasek, tinjauan itu juga menunjukkan bahawa peratusan graduan yang bekerja secara sambilan meningkat dari 25.5 peratus pada 2019 kepada 31.6 peratus pada 2020.

Kira-kira satu daripada setiap enam dari mereka yang bekerja sambilan atau sementara adalah di bawah Program Pelatih SGUnited, satu daya usaha pemerintah yang dilancarkan pada Jun 2020 untuk membantu pencari kerja mencari peluang latihan atau bekerja sambil berlatih dengan syarikat. Di bawah program itu, latihan berlangsung sehingga 12 bulan. Pelatih juga mendapat elaun latihan bulanan, yang mana 80 peratus daripadanya dibiayai Pemerintah.

Berbanding dengan 2019, tidak ada perubahan dari segi gaji bulanan kasar median bagi graduan yang bekerja sepenuh masa, yang terus memperoleh S$2,400 sebulan pada 2020.

Para graduan dari bidang kejuruteraan, sains kesihatan, serta teknologi maklumat dan digital terus menyaksikan gaji bulanan kasar median lebih tinggi sejak tiga tahun lalu, berbanding graduan dari bidang lain, menurut kenyataan media bersama politeknik berkenaan.

Meskipun pandemik COVID-19 "mengganggu" pasaran pekerjaan graduan, masih terdapat peluang bagi lulusan dalam bidang jagaan kesihatan, teknologi infokom, keselamatan siber dan edagang, kata pengetua Politeknik Ngee Ann, Clarence Ti, bagi pihak jawatankuasa Tinjauan Pekerjaan Graduan Politeknik.

"Pihak politeknik akan terus memberikan bimbingan dan sokongan kerjaya kepada para lulusan untuk membantu mereka mencari pekerjaan dalam bidang latihan mereka atau beralih ke peluang pekerjaan baru yang sedang dijana."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan