Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makan di luar, bersenam: Apa yang boleh dan tidak boleh anda lakukan mulai 21 Jun

Bagaimana pula dengan kegiatan keagamaan, jamuan kahwin atau lawatan ke rumah jagaan? Berikut adalah langkah-langkah terkini COVID-19 yang perlu dipatuhi.

Anggaran Waktu Membaca:
Makan di luar, bersenam: Apa yang boleh dan tidak boleh anda lakukan mulai 21 Jun

(Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 19 Jun 2021 09:43AM Dikemas Kini : 19 Jun 2021 10:28AM

SINGAPURA: Singapura akan meneruskan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur dalam Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) dengan melonggarkan sekatan mulai Isnin (21 Jun), walaupun bukan di tahap yang diharapkan.

Pemerintah telah menyesuaikan rancangan pembukaan semula berikutan kemunculan berterusan kes-kes dalam masyarakat yang tidak berhubung kait, serta kemunculan kelompok besar COVID-19 yang terkait kelompok di 115 Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah sejak sekatan dilonggarkan pada Isnin lalu.

Singapura akan terus melonggarkan sekatan-sekatan mulai pertengahan bulan Julai, pada tarikh yang belum diumumkan, dengan saiz kumpulan mungkin dinaikkan kepada lima orang, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat.

Namun sehingga itu, berikut adalah ringkasan perkara-perkara yang dibenarkan ataupun masih belum dibenarkan, mulai minggu hadapan:

MAKAN DI LUAR

Orang ramai dibenarkan makan di luar mulai Isnin, namun dalam kumpulan sehingga dua orang berbanding lima yang diumumkan sebelum ini.

Ini bermakna kumpulan melebihi dua orang bukan dari isi rumah yang sama tidak boleh makan bersama di premis-​premis F&B meskipun mereka duduk di meja-meja berasingan.

Anggota dari isi rumah yang sama yang melebihi dua orang dibenarkan duduk di beberapa meja berasingan namun perlu mematuhi peraturan dua orang semeja.

Sebagai contoh, sebuah keluarga seramai enam anggota tidak boleh duduk semeja dalam satu kumpulan enam orang, jelas pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 Lawrence Wong.

"Kami membenarkan anggota keluarga yang sama untuk duduk di meja-meja berasingan, namun mereka perlu menyatakan dengan jelas mereka dari isi rumah yang sama, ini bukan sesuatu yang baru," kata beliau.

Demi mengurangkan risiko penularan pelanggan berbual dengan kuat, muzik tidak boleh dimainkan di tempat-tempat makan. Ini selain sekatan hiburan dan syarat pengurusan selamat yang sedia ada.

PEMAKAIAN PELITUP SEWAKTU BERSENAM DALAM BANGUNAN

Kegiatan sukan dalam bangunan tanpa pelitup boleh disambung semula mulai Isnin dengan had dua orang sekumpulan, dan kelas- kelas sehingga 30 orang di gim dan pusat kecergasan, termasuk jurulatih.

Pelitup boleh ditanggalkan jika melakukan aktiviti yang berat, tetapi mesti dipakai semula sebaik sahaja selesai melakukan aktiviti. Orang ramai perlu membawa pelitup mereka pada setiap masa, kata Sport SG.

Untuk kegiatan sukan dalam dan luar bangunan dengan memakai atau tanpa pelitup, saiz kumpulan dihadkan kepada lima orang dan had saiz kelas adalah 30 orang, termasuk jurulatih.

Jarak selamat sekurang-kurangnya dua meter antara individu, dan sekurang-kurangnya tiga meter antara kumpulan perlu dilaksanakan. Peralatan dikongsi boleh disediakan.

KUNJUNGAN KE RUMAH JAGAAN WARGA TUA

Kunjungan ke rumah penjagaan warga emas dibenarkan, tetapi pelawat mesti melakukan ujian antigen pantas (ART) dan disahkan negatif sebelum mereka dibenarkan masuk.

"Kami memohon kesabaran dan pemahaman para pengunjung bahawa beberapa rumah penjagaan warga senja akan memerlukan lebih banyak masa untuk melaksanakan prosedur yang diperlukan untuk ART dan hanya boleh mula menerima pelawat pada tarikh yang akan datang," menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

KEGIATAN KEAGAMAAN

Kegiatan keagamaan bukan secara berjemaah, seperti kelas agama ceramah keagamaan, boleh disambung mulai Isnin dalam perhimpunan yang tidak melebihi 50 orang.

Lebih banyak elemen persembahan muzik secara langsung, seperti bernyanyi dan permainan peralatan yang "memerlukan penghembusan angin" seperti peralatan bras, akan dibenarkan untuk upacara-upacara keagamaan.

Hingga dua orang boleh menanggalkan pelitup untuk menyanyi dan bermain alat-alat tersebut, daripada 10 orang yang dibenarkan menanggalkan pelitup dalam kumpulan sehingga 30 orang.

Untuk rakaman dan penyiaran ceramah keagamaan, kumpulan yang lebih besar sehingga 30 orang, berbanding 15 sekarang, akan dibenarkan.

PELBAGAI KEGIATAN SENI DAN BUDAYA

Kegiatan seni dan budaya tanpa memakai pelitup boleh disambung dalam kumpulan sehingga dua orang mulai Isnin. Ini secara amnya merangkumi kegiatan nyanyian dan permainan instrumen yang memerlukan penghembusan angin, seperti instrumen tiupan.

Bagi persembahan secara langsung, sehingga dua orang boleh menanggalkan pelitup untuk tujuan ini, daripada 10 orang boleh menanggalkan pelitup sewaktu membuat persembahan. Sehingga 30 orang termasuk kru akan dibenarkan berada di atas dan di belakang pentas semasa sesuatu persembahan.

Had yang serupa dikenakan untuk penerbitan digital.

Kelas seni dan budaya, ceramah dan bengkel untuk mereka berumur 18 tahun ke bawah juga boleh disambung semula.

Peserta dibenarkan menanggalkan pelitup apabila menghadiri dalam kelas-kelas tarian, nyanyian, permainan alat muzik tiupan, latihan vokal dan pertuturan dan drama.

TAMAN AIR MASIH DITUTUP, BERKELAH ATAU BARBEKU BELUM DIBENARKAN

Semua taman permainan air, kemudahan rekreasi air, tapak perkhemahan dan barbeku di taman dan kebun yang diuruskan oleh Lembaga Taman Negara (NParks) akan terus ditutup sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

Penguatkuasaan akan dipertingkatkan di kawasan dikenal pasti sebagai yang kerap dikunjungi ramai orang, termasuk taman, pantai dan tempat umum dalam kawasan perumahan awam seperti gelanggang sukan, gelanggang bola keranjang dan pavilion.

TIADA MAJLIS JAMUAN PERKAHWINAN

Majlis jamuan perkahwinan tidak boleh diadakan sehingga Singapura melonggarkan sekatan pada pertengahan Julai.

Ini kerana majlis jamuan adalah aktiviti berisiko tinggi di mana para tetamu ebih cenderung untuk bergaul dan untuk masa yang lebih lama, jelas MOH.
 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan