Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majlis penasihat media baru boleh beri S'pura 'saranan bernilai': Iswaran

Sebuah majlis penasihat media yang baru dibentuk dijangka dapat memberikan saranan bernilai dan membantunya menilai trend-trend utama dalam industri.

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis penasihat media baru boleh beri S'pura 'saranan bernilai': Iswaran

(Gambar: IMDA)

Diterbitkan : 03 Dec 2019 09:29AM Dikemas Kini : 03 Dec 2019 09:31AM

SINGAPURA: Sebuah majlis penasihat media yang baru dibentuk dijangka dapat memberikan saranan bernilai dan membantunya menilai trend-trend utama dalam industri.

Majlis Penasihat Antarabangsa Media yang dipengerusikan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran dilancarkan pada Isnin (2 Dis). Ia akan bertemu setiap tahun di Singapura sebagai sebahagian daripada Festival Media Singapura.

Majlis penasihat yang pertama itu merangkumi 11 anggota seperti Netflix, The Walt Disney Co, Formula One Group dan ONE Championship yang dilantik oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Majlis penasihat itu akan membincangkan bagaimana syarikat-syarikat media di rantau ini boleh memanfaatkan trend industri baru serta membincangkan bagaimana penggubal dasar dan pemain industri boleh bekerjasama dalam memacu industri itu.

Semasa berucap kepada media selepas pertemuan pertama mereka, Encik Iswaran berkongsi contoh-contoh menggunakan dasar-dasar bagi mengembangkan bakat teknologi dalam industri tersebut.

"Anda perlukan orang-orang yang mahir dalam penghasilan, aspek teknikal penghasilan dan sebagainya. Dan ia harus dilakukan di peringkat kelas dunia supaya kandungannya dapat diedarkan kepada khalayak global," katanya.

"Saya fikir ia adalah bidang penting yang mana pemerintah dan industri boleh bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi kami untuk membangunkan lebih ramai bakat peringkat kelas dunia sedemikian yang boleh mempelajari daripada yang terbaik dari seluruh dunia."

Bekalan bakat yang kukuh, serta keupayaan dan status Singapura sebagai hab kewangan, menurut Encik Iswaran, turut akan menempatkan Singapura di kedudukan baik menjadi hab media bagi rantau ini.

"Adalah jelas bahawa para pemain industri melihat pasaran kami dalam rantau ini sebagai pasaran berpotensi, kedua-duanya dari segi mengedarkan kandungan yang mereka sudah ada kepada warga rakyat Asia Tenggara, dan sebagai sumber bakat untuk menghasilkan kandungan baru yang bukan hanya dapat diedarkan di Asia Tenggara tetapi kepada seluruh dunia," jelas Encik Iswaran.

Beliau menambah, majlis penasihat itu membawa manfaat kerana syarikat-syarikat terkenal industri boleh memberi Singapura "saranan bernilai" tentang pertimbangan yang mempengaruhi pemikiran dan strategi perniagaan mereka sedang mereka bergerak ke hadapan.

"Setiap satu daripada mereka secara individu menerajui pertubuhan dalam industri, membuat keputusan pelaburan penting, keputusan tentang operasi dan ini menjejas jenis peluang yang boleh ditawarkan di Singapura," katanya.

Menurut IMDA, pelaburan kandungan dalam sektor media dijangka akan mencecah AS$4.4 bilion (S$6 bilion) menjelang 2024.

"Penubuhan majlis penasihat ini berlaku tepat pada masanya untuk menyediakan pandangan kritikal berhubung peluang Singapura dan rantau ini untuk memainkan peranan relevan, lebih signifikan dalam industri media global yang berubah," menurut kenyataan IMDA.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan