Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majlis Penasihat M³ ditubuhkan dengan 33 anggota dilantik

Seramai 33 individu dilantik sebagai anggota Majlis Penasihat M³.

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Penasihat M³ ditubuhkan dengan 33 anggota dilantik

Logo M³. (Gambar: Petikan dari laman M³)

SINGAPURA: Seramai 33 individu dilantik sebagai anggota Majlis Penasihat M³.

Dengan pelantikan rasmi para anggotanya itu, Majlis tersebut kini bersiap sedia untuk menjajarkan dasar-dasar dan strategi serta menyepadukan usaha-usaha yang dijalankan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan Mendaki dan PA Mesra di bawah kerangka M³.

Ini, demi mempertingkatkan lagi kehidupan masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Demikian menurut Persatuan Rakyat dalam satu siaran media hari ini (24 Jul).

Surat pelantikan para anggota Majlis Penasihat M³ itu diserahkan sendiri oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura Masagos Zulkifli semasa mesyuarat pertama majlis tersebut yang diadakan di Wisma Geylang Serai semalam (23 Jul).

Majlis Penasihat itu ditubuhkan pada 1 Julai lalu.

Berucap semasa dalam mesyuarat semalam, Encik Masagos yang juga Penasihat PA Mesra, melahirkan rasa gembira dengan setapak lagi langkah ke hadapan yang diambil oleh M³.

"Dengan kerjasama semua orang - daripada para karyawan seperti peguam, doktor, asatizah dan wakil-wakil PA, MUIS, Mendaki, MCCY, saya yakin masjid-masjid kita, kelab-kelab masyarakat serta pertubuhan-pertubuhan kebajikan sukarela akan dapat disokong dengan lebih baik lagi. Malah, usaha mereka dapat disejajarkan demi menyediakan khidmat peringkat terakhir (last mile) kepada masyarakat kita," tambah beliau.

Inisiatif pertama di bawah rangka kerjasama MUIS, MENDAKI dan MESRA, iaitu M³@Bandar sudahpun dilancarkan sepenuhnya di kesemua lapan bandar - M³@Chua Chu Kang, M³@Bedok, M³@Pasir Ris-Punggol, M³@Tampines, M³@Nee Soon, M³@Jurong, M³@Marsiling-Yew Tee dan M³@Woodlands.

Setiap daripada M³@Bandar itu terdiri daripada rangkaian sukarelawan yang kepakaran mereka akan dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat, khususnya dari segi khidmat jarak terakhir.

Encik Masagos turut menyeru para karyawan yang menyertai inisiatif M³ untuk sama-sama berganding bahu meluaskan lagi rangkaian masyarakat yang boleh didampingi.

"Para peguam, doktor, guru-guru, asatizah dan ramai lagi karyawan yang menyertai majlis ini dan M³@Bandar bukan setakat berkhidmat sebagai seseorang yang menjadi sumber dalam kalangan masyarakat.

"Sebaliknya, mereka juga perlu mengambil pendekatan yang pelbagai dan lebih luas dalam usaha mendampingi segmen-segmen masyarakat yang mungkin belum dapat kita dekati sebelum ini. Ini akan membolehkan kita menumpukan perhatian kepada kumpulan masyarakat yang lebih sukar didampingi dan kurang mendapat khidmat-khidmat kita," kata Encik Masagos.

Dengan adanya Majlis Penasihat M³, ia akan memainkan peranan dengan memberikan nasihat serta memimpin mereka di peringkat strategik dan juga masyarakat untuk mempertingkat keberkesanan M³ dalam memenuhi objektif-objektif tersebut.

Majlis itu juga akan memastikan semua usaha akan diselaraskan dan maklumat disampaikan dengan tepat dan cekap antara pihak yang menggubal dasar-dasar, yang melaksanakannya dan juga pihak-pihak berkepentingan terutama sekali agensi-agensi M³.

Ini selain meneliti kemajuan-kemajuan yang dicapai dan mengongsi amalan-amalan terbaik berkaitan inisiatif-inisiatif yang dikendalikan M³. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan