Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majlis Celik Media mohon maaf kerana sifatkan satira sebagai berita palsu

Majlis Celik Media (MLC) memohon maaf atas satu catatan Facebook dengan grafik yang menyifatkan satira sebagai sejenis berita palsu selepas para netizen menarik perhatian bahawa grafik tersebut sendiri adalah sejenis berita palsu.

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Celik Media mohon maaf kerana sifatkan satira sebagai berita palsu

Petikan skrin Facebook

Diterbitkan : 09 Sep 2019 03:44PM Dikemas Kini : 09 Sep 2019 03:47PM

SINGAPURA: Majlis Celik Media (MLC) memohon maaf atas satu catatan Facebook dengan grafik yang menyifatkan satira sebagai sejenis berita palsu selepas para netizen menarik perhatian bahawa grafik tersebut sendiri adalah sejenis berita palsu.

"Kami akur bahawa catatan dan infografik memberi tanggapan yang salah bahawa satira adalah berita palsu, namun itu bukan niat kami. Kami memohon maaf atas kekeliruan ini dan akan menyemak bahan-bahan kami," tulis majlis tersebut di Facebook pada Ahad (8 Sep).

"Tujuan catatan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia dan masyarakat umum tentang perlunya lebih peka terhadap cara-cara berita palsu boleh disebarkan dan menggalak para pembaca supaya memahami konteks maklumat tersebut dibentangkan. Ini sebahagian daripada usaha MLC untuk menggalak kepekaan online.

"Terima kasih kepada para pembaca yang membangkitkannya kepada pihak kami."

Grafik berkenaan dimuatnaikkan MLC pada Khamis lalu dan ia memaparkan enam jenis berita palsu: konteks palsu, kandungan penyamar, kandungan yang dimanipulasikan, kandungan yang mengelirukan, 'clickbait' dan satira.

Catatan tersebut diturunkan pada Sabtu.

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Mei menegaskan bahawa Akta Perlindungan daripada Kepalsuan Online dan Manipulasi (POFMA) hanya menyasarkan kenyataan palsu yang mengubah fakta dan bukan pendapat, krtikan, satira atau parodi.

Para netizen dengan pantas mengkritik catatan MLC yang menyifatkan satira sebagai berita palsu.

Profesor Madya Leong Ching dari Universiti Nasional Singapura (NUS) menulis di Facebook bahawa "satira BUKAN berita palsu. Ia dikecualikan daripada POFMA".

Ramai netizen tidak berpuas hati dengan permohonan maaf MLC.

Pengguna Facebook Jacelyn Yap berkata dalam ruang komen catatan permohonan maaf MLC di Facebook: "Dalam catatan awal, anda dengan jelas menyenaraikan satira sebagai berita palsu namun kini anda berkata itu bukan niat anda. Adakah niat anda untuk mengelirukan orang ramai? Adakah anda OK?"

Bekas wartawan yang kini seorang profesor madya di NUS Bertha Henson turut mengulas catatan yang sama: "Saya kecewa apabila anda mencadangkan bahawa anda hanya setakat memberikan salah tanggap - sedangkan anda membuat kenyataan palsu.

"Kesilapan anda - yang saya harap tidak disengajakan - hanya menguatkan lagi kebimbangan bahawa satira akan dilihat sebagai berita palsu - secara sengaja ataupun tidak. Jika MLC tidak arif tentang undang-undang, bagaimanakah ia akan mendidik orang ramai mengenainya?"

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan