Images
  • denggi
    (Gambar: Edgar Su/Reuters) 

Majlis Bandaran tingkatkan usaha perangi ancaman denggi dengan jumlah jangkitan meningkat

SINGAPURA: Kebanyakan Majlis Bandaran meningkatkan usaha bagi memerangi ancaman denggi di tengah-tengah jumlah jangkitan yang semakin meningkat di Singapura.

Sementara sasaran-sasarannya adalah kawasan-kawasan pembiakan, Majlis Bandaran menekankan para penduduk juga memainkan peranan yang penting.

Terdapat sekurang-kurangnya 224 kes denggi yang dilaporkan pada lima hari pertama dalam tempoh seminggu.

Jumlah itu satu peningkatan daripada 400 kes yang dilaporkan pada minggu lalu.

Majlis bandaran Holland-Bukit Panjang merupakan salah satu daripada kelompok denggi yang besar dan ia meningkatkan usaha untuk membasmi nyamuk.

Ini termasuk membuat pemeriksaan terhadap kelompok-kelompok baru dan memberikan perhatian yang lebih kepada kawasan-kawasan pembiakan.

"Kami menjalankan pewasapan, namun pewasapan tidak berkesan dengan sepenuhnya. Apa yang lebih berkesan ialah untuk mengurangkan habitat pembiakan nyamuk. Jadi kami lakukan kedua-duanya sekali," kata Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah, Dr Teo Ho Pin.

Racun serangga juga disembur di tempat-tempat yang gelap, tertutup dan tidak mudah untuk dimasuk.

Namun, usaha melawan pembiakan itu tidak boleh dilakukan oleh satu pihak sahaja.

Sebaliknya, ia memerlukan usaha dan sokongan daripada penduduk flat.

Lantaran itu, majlis bandaran menjalankan usaha untuk meningkatkan kesedaran bahawa penduduk juga memainkan peranan penting.

Para penghuni flat diharapkan memberi kebenaran kepada para pegawai dari Majlis Bandaran atau Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) jika perlu, bagi membantu dan mengenal pasti tapak-tapak pembiakan yang berpotensi.

Kes-kes denggi meningkat sejak Disember lalu dengan kadar mingguannya mencecah lebih daripada 400 kes pada pertengahan Januari hingga awal bulan ini.

Kini, jumlah kes secara keseluruhan pula mencecah tahap paling tinggi sejak tiga tahun lalu.

Pada Khamis (13 Feb), terdapat 106 kelompok yang aktif di Singapura dengan 23 kawasan berisiko tinggi mempunyai lebih daripada 10 kes termasuk kawasan seperti Seletar, Bukit Panjang, dan Ang Mo Kio.

Lagi 83 kawasan dianggap sebagai kawasan "berisiko tinggi" namun mempunyai kurang daripada 10 kes.

128 yang lain pula diletakkan di bawah pengawasan untuk 21 hari selepas tiada kes baru dilaporkan.

NEA turut memberi amaran bahawa terdapat satu lagi virus denggi yang sedang menular di sini - yang dikenali sebagai DENV-3.

Kadar kes tersebut meningkat sebanyak tiga kali ganda, daripada 15 peratus pada Januari tahun lalu kepada 47 peratus pada Januari tahun ini.  

- CNA/UR/ha

Top