Images
  • fire bukit batok
    Kebakaran di Bukit Batok pada awal Nov 2019 (Gambar: Facebook/Murali Pillai)

Majlis Bandaran Jurong-Clementi Town diberi amaran setelah gelung hos didapati tidak berfungsi

SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengeluarkan amaran kepada Majlis Bandaran Jurong-Clementi Town setelah pasukan bomba yang dikerahkan untuk memadamkan kebakaran di sebuah flat HDB di Bukit Batok minggu lalu tidak dapat menggunakan gelung hos di tempat kejadian.

Sebilangan kabinet gelung hos dikunci, menurut SCDF dalam kenyataan medianya kepada Mediacorp pada Sabtu (9 Nov). Setelah pasukan bomba memecahkan mangga, mereka masih tidak berupaya menggunakan gelung hos itu kerana tiada bekalan air, tambah SCDF.

Kebakaran akhirnya dipadamkan menggunakan bekalan air daripada kenderaan kecemasan SCDF.

"Majlis Bandaran bertanggungwajab ke atas penyenggaraan dan fungsi peralatan keselamatan kebakaran di estet masing-masing," tegas SCDF.

2 ORANG DISELAMATKAN DARI BELEBAS FLAT

Tiga orang berjaya diselamatkan daripada kebakaran tersebut, yang tercetus di tingkat 13 Blok 210A Bukit Batok Street 21 sekitar 4.30 pagi pada 1 November.

Seorang wanita yang berusia 60-an tahun diselamatkan dari sebuah tandas, manakala seorang lelaki berusia 60-an tahun dan seorang lagi lelaki berusia 30-an tahun ditemui berdiri di belebas luar tingkap dapur. Mereka dikejarkan ke hospital kerana mengalami kelecuran dan terhidu asap.

Punca kebakaran sedang disiasat.

AMARAN BAHAYA KEBAKARAN

Pada lewat hari itu, SCDF memaklumkan Majlis Bandaran Jurong-Clementi Town berhubung isu berkenaan dan melakukan pemeriksaan bersama para wakil majlis bandaran itu, menurut kenyataan SCDF.

Majlis Bandaran tersebut kemudian diberi Notis Penghapusan Bahaya Kebakaran. Ia merupakan satu amaran untuk majlis bandaran tersebut memperbetulkan kelemahannya.

Dalam kes ini, menurut SCDF, pihak majlis bandaran perlu memastikan gelung hos berfungsi dengan baik dan tidak dikunci.

Jika kelemahan sama dikesan semasa pemeriksaan susulan SCDF, Majlis Bandaran tersebut boleh dikenakan denda komposisi atau didakwa, tambah kenyataan itu lagi.

"SCDF sudah mengesahkan melalui pemeriksaan yang dijalankan di lokasi bahawa gelung hos di blok itu boleh diakses dan berfungsi dengan baik."

Mediacorp sudah menghubungi Majlis Bandaran Jurong-Clementi untuk mendapatkan komen.

- CNA/TQ/tq

Top